Sunday, April 22, 2012

Pemansuhan PTPTN: Satu ancaman kepada Kapitalisme

Karthiges | Apr 16, 2012 07:20:55 pm 
 
Hari ini, ramai anak muda dan mahasiswa dicederakan dan diintimidasi secara kasar oleh pihak polis dan DBKL untuk memusnahkan khemah-khemah yang didirikan untuk meluahkan perasaan menentang PTPTN. Ia adalah reaksi spontan daripada anak muda melalui "Occupy Dataran" untuk tuntutan Pendidikan Percuma dan menghapuskan pinjaman pendidikan tinggi melalui tabung PTPTN.


Dua hari terdahulu, sekumpulan anak muda dan mahasiswa telah berdemonstrasi untuk tuntutan yang sama dan satu mesej yang jelas telah diberikan bahawa agenda untuk menjadikan golongan terpelajar senantiasa di bawah telunjuk kerajaan adalah tidak mungkin berpanjangan. Ada juga dakwaan bahawa kebergantungan terhadap pinjaman PTPTN ini sebenarnya lebih kepada golongan pemodal yang membina kolej-kolej untuk tujuan perniagaan. Persoalannya siapa yang lebih memerlukan PTPTN ini sebenarnya?

PTPTN atau Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional ditubuhkan pada 1997 untuk memberi pinjaman kepada penuntut pengajian tinggi dan selepas belajar, para penghutang ini perlu membayar balik dengan tambahan faedah pengurusan (baca=bunga) sebanyak 4%. Kini kadar faedah bunganya ialah 1%. Menurut Perdana Menteri Malaysia, sejak dimulakan sehingga sekarang sebanyak RM 43 billion telah dipinjamkan oleh tabung ini dan tahun lalu sahaja lebih kurang RM4 billion telah dikeluarkan sebagai pinjaman kepada para penuntut. Tetapi menurut kepimpinan PKR, jumlah sebenar hanyalah RM 27.5 billion sahaja dan baki pinjaman sekarang adalah lebih kurang RM24.7 billion.

Walau apapun angka yang diberitahu, isu yang lebih penting ialah mengapa berbillion ringit telah dikeluarkan sebagai pinjaman? Jawapannya hanya satu. Kenaikan yuran pengajian yang melambung tinggi di awam dan swasta. Lebih-lebih lagi, penubuhan ratusan kolej-kolej untuk penawaran pendidikan tinggi dari sijil hinggalah ke Sarjana dan PhD. Sekiranya, sebuah kursus dikenakan bayaran lebih kurang RM 22,000 di universiti / kolej awam, mengapakah bayarannya lebih dua kali ganda di kolej swasta untuk pengajian kursus yang sama? Siapa yang benarkannya? Siapa yang memantaunya? Kerajaan atau "bapa"nya di sektor swasta?

Siapa yang untung di sini? Jom kita ambil kursus kejururawatan di Malaysia! Kolej manakah yang menerima pinjaman PTPTN tertinggi di Malaysia? Kolej Masterskill! Pada tahun 2009 sahaja, mereka menerima RM145.5 juta. Tetapi, tahukah kita bahawa Pengerusi Masterskill Governing Council ialah Mohamed Nazim bin Abdul Razak iaitu adik Perdana Menteri Malaysia dan Cancellor Kolej Universiti Sains Kesihatan Masterskill (MUCH) ialah Raja Azureen iaitu anak kepada Sultan Perak. Untung kolej ini pada tahun tersebut ialah RM 97.4 juta. Siapa yang merasai keuntungan ini?

Di pihak yang lagi satu? Anak muda kita yang menuntut kursus kejururawatan ini. Apakah nasib mereka? Statistik menunjukkan lebih kurang 37,000 pelajar sedang mengikuti kursus tersebut di IPTS tetapi pasaran swasta hanya memerlukan 1,400 orang setahun. Jika 37,000 penuntut ini dibahagi tiga untuk nilai keluaran ke pasaran setiap tahun, maka lebih kurang 12,000 pelajar ini akan membanjiri pasaran untuk 1,400 peluang pekerjaan. Apakah nasib mereka yang tidak mungkin akan mendapat kerja? Bukankah ini satu skandal/penipuan kepada anak muda kita hanya semata-mata untuk mencarikan keuntungan melalui peruntukan PTPTN kepada adik beradik dan anak-anak VIP kita.

Siapa yang untung? Satu kalkulasi ringkas menunjukkan untuk 12,000 pelajar kejururawatan yang dikeluarkan setiap tahun, jika didarabkan keuntungan kasar sebanyak RM 25,000 seorang, maka pihak institusi mendapat untung RM300 juta. Bagaimana pula untuk kursus-kursus yang lain. Berapakah keuntungan yang masuk ke kocek koperat. Siapa yang untung? Pihak yang memiliki institusi atau penuntut institusi?

Pembocoran skandal ini oleh Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma yang diterajui oleh Pemuda Sosialis PSM dan Ahli Parlimen Sg Siput masih tidak mendapat jawapan atau reaksi daripada pihak berkuasa.

Satu lagi persoalan yang sepatutnya popular ialah mengapa kerajaan memberi reaksi yang keterlaluan apabila Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat akan menghapuskan PTPTN sekiranya menawan Putrajaya? Pelbagai sebab diberikan termasuk negara akan bankrap, kerajaan akan rugi, Petronas akan runtuh, kolej swasta akan ditutup dan akhirnya kad rasis dilayangkan dengan kenyataan pemansuhan PTPTN akan menjejaskan kepentingan Bumiputera. Sebenarnya semua sebab-sebab ini tidak mendapat reaksi yang sepatutnya kerana Laporan Audit oleh pihak kerajaan sendiri menyatakan ketirisan pengurusan kerajaan akibat korupsi, kronisma dan penyalahgunaan kuasa, mencecah hampir RM28 billion untuk setiap tahun. Maka apakah sebabnya reaksi sebegini?




Kerajaan telah mengumumkan pojek perkongsian dengan sektor swasta untuk sistem pendidikan dan perkhidmatan awam lain melalui Rancangan Malaysia ke-10. Walaupun projek "penswastaan" pendidikan ini tidak diheboh-hebohkan, beberapa siri tindakan lanjutan telah diambil termasuk pembinaan ribuan tadika di bawah projek Permata (idea Rosmah) dan pemberian kuasa autonomi kepada universiti tempatan dan sekolah. Antara kuasa yang diberikan ialah kemasukan penaja swasta ke sekolah dan universiti. Maka, kuasa tambahan yang diberi termasuk penentuan yuran, pemilihan pelajar dan pendidik serta pengrekrutan tenaga kerja sokongan (pekebun,penjaga keselamatan dan sebagainya).




Isunya, pasaran pendidikan telah dibuka seluas-luasnya oleh Kerajaan BN dan lidah korporat ternganga-nganga untuk menghisap keuntungan yang bakal disajikan. Maka, propaganda pendidikan percuma dan pemansuhan PTPTN jelas satu ancaman kepada cita-cita mereka. Maka, dicucuk boneka-bonekanya di kerajaan untuk bangun menentang tuntutan populis tersebut. Rakyat pada umumnya dan anak muda /mahasiswa memang terpikat dengan idea pemansuhan PTPTN dan ini jelas meruncingkan kepentingan golongan koperat.

Walaupun Kerajaan Pakatan Rakyat tidak menghebohkan sistem pendidikan negara akan terbebas daripada cengkaman pasaran/pemodal (baca = mereka masih belum bersedia), sekurang-kurangnya penerapan idea reformis untuk pendidikan percuma / penghapusan PTPTN adalah terlalu dialu-alukan pada ketika ini dan mendapat sokongan penuh daripada Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma (GMPP).

Apa yang kami impikan ialah satu sistem pendidikan percuma yang bebas daripada pasaran/pemodal selaras dengan tuntutan umum "Pendidikan Bukan Untuk Diniagakan".

Anak Muda Kuasa Perubahan
*Karthiges ialah Penyelaras Gabungan Menuntut Pendidikan Percuma.

sumber.merdekareview.com

Saturday, April 14, 2012

Jagalah Tepi Kain Sendiri Jangan Sampai Terselak

Assalamualaikum..
 Dalam masyarakat Melayu ada satu pepatah yang begitu terkenal yang menggambarkan kepedulian masyarakat yang begitu mendalam terhadap hal ehwal orang lain. Terkenalnya pepatah ini sehingga ianya sering digunakan oleh orang Melayu dan mungkin juga orang bukan Melayu dalam perbualan harian berbanding dengan pepatah-pepatah yang lain. Pepatah yang dimaksudkan ialah ‘jangan jaga tepi kain orang' yang membawa maksud jangan ambil peduli hal orang lain.
 Persoalannya ialah adakah pepatah ini masih relevan dengan cara hidup kita hari ini? Dan lebih-lebih lagi kita orang Islam adakah pepatah ini selaras dengan tuntutan agama? Sebenarnya pepatah ini mempunyai pro dan kontranya yang tersendiri bergantung dari sudut mana kita melihatnya.

Sekiranya pepatah ‘jangan jaga tepi kain orang' ini membawa maksud buangkan sifat ingin tahu yang berlebih-lebihan mengenai sifat buruk dan keaiban seseorang maka memang layak pepatah ini diamalkan. Ini adalah kerana sifat suka mengambil tahu tentang keburukan orang lain seringkali akan disusuli pula dengan tabiat suka menyebarkan keburukan itu kepada orang lain. Ini mengupat namanya dan diharamkan oleh agama. Bahkan al Quran telah mengingatkan kita supaya menjauhi sifat buruk ini di dalam surah al Hujurat, sebahagian daripada ayat ke 12, yang maksudnya:

"Janganlah setengah daripada kamu mengupat setengah yang lain..."

Begitu juga pepatah ini wajar diterima-pakai dan diamalkan sekiranya ia membawa maksud menjauhi sifat suka mengintip dan mencari-cari kesalahan orang lain. Hal ini juga telah diperingatkan kepada kita oleh Islam supaya menjauhi sifat ‘tajassus' atau mengintip dengan tujuan untuk mencari keaiban dan keburukan orang yang tersembunyi, sepertimana firman Allah SWT di dalam surah dan ayat yang sama seperti di atas, yang membawa maksud:

"Dan janganlah kamu mengintip dan mencari-cari kesalahan dan keaiban orang..."

Buruknya amalan mengupat dan sifat ‘tajassus' ini sehingga Rasulullah SAW sendiri telah mengingatkan kita supaya menjauhi sifat-sifat ini dengan sabda Baginda yang bermaksud:

"Wahai golongan yang beriman dengan lisannya, tetapi tidak beriman dengan hatinya; Janganlah kamu mengumpat kaum Muslimin dan janganlah kamu mengintip keaiban mereka, maka barang siapa yang mengintip keaiban saudaranya, nescaya Allah akan mengintip keaibannya, dan siapa yang diintip Allah akan keaibannya maka Allah akan membuka keaibannya walaupun dirahsiakan di lubang kenderaannya"

(Hadith riwayat at Tirmidzi)

Namun apa yang ingin dilihat disebalik pepatah yang kelihatannya tidak begitu molek diamalkan ini ialah ianya
masih tetap relevan dengan tuntutan kehidupan harian kita masa kini sehingga mungkin ianya terpaksa diubah dari ‘jangan jaga tepi kain orang' kepada ‘tolong jaga tepi kain orang'. Apa yang ingin dimaksudkan di sini ialah kita harus mengakui bahawa persekitaran hidup kita sekarang tidak lagi aman dan selamat seperti suatu masa dahulu..

sesuai juga ditambah peribahasa :

"jagalah tepi kain orang jangan asyik suka untuk menyelaknya " dan "jagalah tepi kain sendiri jangan sampai terselak" :)
Warkah Ust Azhar Idrus utk Sham Kamikazi

Saturday, April 7, 2012

Jagalah Aurat Anda Sebelum Ajal Tiba....



Allahyarham baru meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya baru-baru ini.Tak Lama kemudian ibunya bermimpi yang beliau merayu-rayu agar tutup acc facebook kerana auratnya terdedah di pandangan umum & rohnya tidak tenteram kerana banyak sangat gambar yang terdedah dan tidak tutup aurat.

Beliau yang baru berusia 19 tahun dan berasal dari Johor, telah pun meninggal dunia beberapa hari lepas setelah koma 2 hari akibat kemalangan jalan raya.

Alhamdulillah pada 4pm 6/4/12 facebooknya telah berjaya dipadamkan, terima kasih kepada yang telah memberi kerjasama.

Inginkah Anda Mati Dalam Derhaka Kepada Allah?

Sebuah hadis yang yang diriwayatkan oleh At Tarmizi, Perempuan itu aurat. Maka apabila ia keluar, mendongaklah syaitan memandang dia. Cuba kita bayangkan, bagaimana dengan keadaan seorang wanita keluar rumah dalam keadaan mendedahkan aurat, tiba-tiba berlaku kemalangan atau sebagainya menyebabkan kematian, bukankah kematian itu berlaku dalam keadaan melakukan derhaka kepada Allah?

Allah tunjukkan kepada nabi dalam peristiwa Israk dan Mikraj sebagai pengajaran bahawa begitu besar dosa dan begitu ngeri azab yang bakal diterima oleh wanita-wanita yang mendedahkan aurat malahan suami atau bapa mereka turut menerima tempiasnya sekali pada akhirat kelak.

Sabda Rasulullah s.a.w. "Perempuan-perempuan yang memakai pakaian tetapi masih seperti telanjang (dedah aurat) sehingga memalingkan pandangan lelaki ajnabi atas mereka, kepala mereka seperti bonggol unta Khurasan dan tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya pun" (riwayat Muslim). Malahan bagi wanita yang menutup aurat tetapi menggunakan warna-warna yang garang atau menarik perhatian lelaki ajnabi juga dilarang.

Sekarang kita melihat ada wanita yang menutup aurat tetapi masih terkinja-kinja di atas pentas, terjerit-jerit umpama haiwan di belantara, manusia begini tidak lebih hanya mempersenda-sendakan syariat Allah kerana wanita yang ikhlas, yang benar-benar menutup aurat kerana perintah Allah, dia akan menjaga pandangan, pergaulan, lisan serta adab sebagai wanita beriman, jika tidak tidak ada bezanya mereka dengan wanita yang tidak menutup aurat.

Akhirnya hayatilah sebuah hadis Rasulullah ketika baginda dalam Israk dan Mikraj yang berbunyi "Aku menjenguk ke dalam neraka, maka kulihat kebanyakan penghuninya adalah kaum wanita, yang demikian disebabkan oleh kerana kurang taat kepada Allah dan Rasulullah dan suami mereka dan kerana banyak bertabarruj dedah aurat dan berhias-hias".

Bapa-bapa atau suami-suami kelihatan taat solat, dengar kuliah, bersedekah, buat haji, buat umrah, puasa sunat selain yang wajib, tetapi redha melihat isteri atau anak-anak perempuan dedah aurat, bersalam dengan lelaki ajnabi atau bergaul bebas.

Ketahuilah bapa atau suami begitu belum layak untuk masuk syurga malah untuk mencium syurga Allah pun tidak layak kerana menolak rukun iman. Sama-samalah kita insaf bagi mencapai keredhaan Allah.

Wallahu'alam....

SALAM MUHASABAH, KONGSIKAN KEPADA SELURUH UMAT ISLAM, SEMOGA BEROLEH MANFAAT.