Hari ini aku di Jordan, menghirup
udara dan menggali ilmu di bumi orang. Teringat abuya di masa lapangnya sering
membawa kami menikmati pemandangan di tepi pagar duri Lapangan Terbang Sultan
Azlan Shah, melihat dengan megahnya kapal terbang membelah dan hilang ditelan awan
tanpa anak-anak kecil itu mengerti maksud sebenar yang ingin disampaikan.
Benar, ia adalah proses membina dan mencabar diri. Pernah abuya mencabar kami supaya suatu hari nanti kami mesti merasa
menaiki pesawat untuk menimba ilmu di rantau orang. Abuya juga memujuk
kami dengan menekan pedal minyak kereta sambil gear bebas seolah-olah
kereta juga mampu terbang setelah merasakan keinginan kami menaiki
pesawat adalah tidak mungkin.
Tarikh keramat 22/11 adalah tarikh
yang akan dan sentiasa diingati kami sekeluarga sebagai hari berkabung untuk
abuya. Selingan malam itu aku berada di asrama kolej meraikan sahabat menang
dalam badminton sebelum panggilan dari abang mengejutkan aku dari tidur, dan hujung
minggu ini aku bersama dia akan dipilih mewakili batch dalam permainan
badminton bagi sukan Feskei.
Tidak memikirkan kesedihan atas abuya
tidak menghadiri kenduri kahwin, tapi aku sedih kerana tidak berkesempatan
menuntut ilmu didikan anak darinya kerana barangkali dia lebih mengenali siapa
aku dan zuriatnya.
Jika aku tahu saat ini abuya
berada di hujung dunia sekalipun, nescaya pasti aku akan berhabisan harta dan
meninggalkan segala urusan duniawi semata-mata mahu mencium tangan kasarnya dan
peluk erat bertemu dengannya walau hanya sesaat.
Masih segar diingatan, dengan
nada sayup di malam perjalanan pulang ke kampung untuk memberi penghormatan
terakhir terhadap opah, abuya menarik khayalan kami dengan kalamnya “mak tak
sempat melihat abang Zul pergi Mesir (sebelum keputusan ke Jordan diambil)”, kalam
ini jugalah sering aku ulang setelah abuya juga turut tidak berkesempatan
melambai abang dan aku di KLIA.