Friday, October 29, 2010

Lima Tanda Hati Keras Membatu


21 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Uda Firdaus Abd Rahim

Hati adalah sumber ilham dan pertimbangan, tempat lahirnya cinta dan benci, keimanan dan kekufuran, taubat dan sikap degil, ketenangan dan kebimbangan. Hati juga sumber kebahagiaan jika kita mampu membersihkannya namun sebaliknya ia merupakan sumber bencana jika kita gemar menodainya. Aktiviti yang dilakukan sering berpunca daripada lurus atau bengkoknya hati. Abu Hurairah lah.a. berkata,

"Hati adalah raja, sedangkan anggota badan adalah tentera. Jika raja itu baik, maka akan baik pula lah tenteranya.. Jika raja itu buruk, maka akan buruk pula tenteranya".

Hati yang keras mempunyai tanda-tanda yang boleh dikenali, di antara yang terpenting adalah seperti berikut:

1. Malas melakukan ketaatan dan amal kebajikan Terutama malas untuk melaksanakan ibadah, malah mungkin memandang ringan. Misalnya tidak serius dalam menunaikan solat, atau berasa berat dan enggan melaksanakan ibadah-ibadah sunnah. Allah telah menyifatkan kaum munafikin dalam firman-Nya yang bermaksud,

"Dan mereka tidak mengerjakan sembahyang, melainkan dengan malas dan tidak (pula) menafkahkan (harta) mereka, melainkan dengan rasa enggan." (Surah At-Taubah, ayat 54)

2. Tidak berasa gerun dengan ayat al-Quran Ketika disampaikan ayat-ayat yang berkenaan dengan janji dan ancaman Allah, hatinya tidak terpengaruh sama sekali, tidak mahu khusyuk atau tunduk, dan juga lalai daripada membaca al-Quran serta mendengarkannya. Bahkan enggan dan berpaling daripadanya. Sedangkan Allah S.W.T memberi ingatan yang ertinya,

"Maka beri peringatanlah dengan al-Quran orang yang takut dengan ancaman Ku." (Surah Al-Qaf, ayat 45)

3. Berlebihan mencintai dunia dan melupakan akhirat Himmah dan segala keinginannya tertumpu untuk urusan dunia semata-ma ta. Segala sesuatu ditimbang dari segi keperluan dunia. Cinta, benci dan hubungan sesama manusia hanya untuk urusan dunia sahaja. Penghujungnya jadilah dia seorang yang dengki, ego dan individulistik, bakhil serta tamak terhadap dunia.

4. Kurang mengagungkan Allah Sehingga hilang rasa cemburu dalam hati, kekuatan iman menjadi lemah, tidak marah ketika larangan Allah dilecehkan orang. Tidak mengamal yang makruf serta tidak peduli terhadap segala kemaksiatan dan dosa.

5. Tidak belajar dengan Ayat Kauniah Tidak terpengaruh dengan peristiwa-peristiwa yang dapat memberi pengajaran, seperti kematian, sakit, bencana dan seumpamanya. Dia memandang kematian atau orang yang sedang diusung ke kubur sebagai perkara biasa, padahal cukuplah kematian itu sebagai nasihat.

"Dan tidaklah mereka (orang-orang munafik) memperhatikan bahawa mereka diuji sekali atau dua kali setiap tahun, kemudian mereka tidak (juga) bertaubat dan tidak (pula) mengambil pelajaran?" (Surah At-Taubah, ayat 126).

Wednesday, October 27, 2010

Berkapel & Displin Dalam Bertunang

Soalan

Saya telah berkenalan dengan seorang pemuda yang alim dan warak orangnya. Dia banyak memberi nasihat dan panduan agama kepada saya. Sejak berkenalan dengannya, saya telah banyak berubah. Saya mengikuti nasihatnya agar menutup aurat dengan sempurna dan tidak meninggalkan solat lima waktu. Saya dapat rasakan ada perasaan indah yang timbul dalam hati sanubari saya terhadapnya. Saya selalu berangan-angan agar dapat bersamanya sebagai suami isteri suatu hari nanti. Ustaz, apakah yang saya lakukan ini dalam keredaan Allah? Tidakkah saya berubah kerana pemuda tersebut, bukan sepenuhnya kerana Allah SWT? Bagaimana untuk memastikan agar saya sentiasa berada di landasan yang betul?

Terima kasih atas kesudian ustaz menjawab persoalan ini

Jawapan

Tahniah, kerana bertemu dengan pemuda yang alim dan warak. Dalam hal yang melibatkan hubungan lelaki dan wanita, Islam cukup teliti dan sering dituduh sebagai ‘konservatif' dari kacamata barat. Hakikatnya, Allah maha bijaksana dan amat mengetahui baik dan buruk untuk manusia di dunia dan akhirat.

Justeru, jika dilihat dari apa yang telah meresapi hati saudari, bolehlah di katakan saudari sudah ‘jatuh hati' kepada si pemuda tadi serta memasang niat baik untuk mempersuamikannya. Sebagai manusia biasa, ia sememangnya satu niat dan perasan yang sukar di tolak. Bagaimanapun, saudari perlulah mengawal semua batasan perhubungan dengan pemuda tadi bagi mendapat keredhaan Allah. Tindakan berikut perlulah saudari lakukan :-


1) Meluahkan hasrat secara berselindung tetapi boleh di fahami kepada pemuda tadi untuk membina "rumahtangga" bersama. Ia berdasarkan tindakan Khadijah yang menggunakan orang tengah, dan juga seorang wanita lain yang tanpa segan silu menyatakan hasratnya kepada baginda SAW. Imam Al-Bukhari di dalam sohihnya meletakkan satu bab bertajuk " Wanita mendedahkan / menawarkan dirinya kepada lelaki Soleh" (Rujuk Kitab Nikah); juga terdapat satu riwayat bahawa Anas r.a berkata di sisi anak perempuannya :

Ertinya : "telah datang seorang wanita kepada Rasulullah SAW lalu menawarkan dirinya (untuk menjadi isteri baginda) ; berkatalah wanita itu : " Adakah dikau punyai hajat kepadaku? " ; maka anak perempuan Anas menyampuk : " Alangkah kurangnya malu si wanita itu dan amat malunya perbuatannya " ; maka Anas menjawab : " Dia lebih baik darimu, ia berkehendakkan Nabi SAW lalu menawarkan dirinya kepada baginda SAW" ( Sohih Al-Bukhari, 7/17 ).

Imam Ibn Hajar menegaskan tiada catatnya wanita menawarkan dirinya untuk menjadi isteri kepada seorang lelaki ( Fath al-Bari, 9/175 ).

Justeru, jangan terlalu terpengaruh kononnya orang wanita tidak boleh melamar si pemuda yang baik lagi warak. Teruskan hasrat dan jangan bertangguh dalam melakukan hal yang baik. Malah Khawlah bt Hakim adalah dari kalangan wanita yang menawarkan dirinya kepada Nabi SAW ( Sohih al-Bukhari, 7/15)

2) Saudari diizinkan untuk menjemput pemuda itu ke rumah saudari bagi memperkenalkannya kepada kedua Ibu bapa saudari. Syaratnya, mestilah dengan kewujudan ibu bapa atau ‘wali' lain di dalam majlis itu. Saudari dibenarkan untuk berada bersama di ruang tamu (dengan menutup aurat lengkap) dan tidak perlulah bersembunyi di dalam bilik. Ia berdasarkan hadith-hadith yang mengizinkan lelaki dan wanita yang berniat untuk kahwin, bagi mengenali dengan lebih dekat bakal pasangan masing-masing.

Antaranya dalilnya : "telah datang kepada Nabi SAW seorang lelaki lalu menceritakan bahawa ia ingin memperisterikan seorang wanita Ansar, maka Nabi bersabda : "Adakah kamu telah melihatnya? : "Belum jawabnya" ; Nabi menjawab :

Ertinya : "Pergilah kamu melihatnya kerana di mata wanita Ansar ada sesuatu (tanda)" ( Riwayat Muslim).

Juga pesan Nabi kepada Mughirah bin Syu'bah selepas mengetahui ia ingin meminang seorang wanita : "Pergilah melihatnya, sesungguhnya ia lebih menjamin berkekalannya - bagi menilai kesesuaian- (perkahwinan) kamu berdua" ( Riwayat Ahmad, At-Tirmidzi, Ibn Hibban ; Hasan menurut At-Tirmidzi no 1087, cet Maktabah al-Ma'arif ; Sohih menurut Albani ).

Perlu diingat bahawa melihat bukan hanya dengan mata, tetapi ia juga membawa maksud suatu meninjau sikap, budi bahasa, cara hidup dan apa-apa info yang dapat menambahkan ketepatan pemilihan pasangan (kecuali yang HARAM dibuat dan dilihat). (Fiqh as-sunnah, Sayyid Sabiq, 2/23 dengan tambahan, Nizom al-Usrah, Dr Muhd ‘Uqlah, 1/206)

3) Jangan bertangguh atau berhubung tanpa ikatan sah terlampau lama, ( Nizom al-Usrah, 1/216) kerana ia amat mudah membawa kepada yang haram. Perihal berangan-angan saudari tadi juga bukanlah sesuatu yang baik untuk diteruskan. Nabi SAW menyatakan :

Ertinya : " Tidak dilihat (penyelesaian) bagi dua orang yang cinta-mencintai kecuali NIKAH " ( Riwayat Ibn Majah, al-Hakim, sohih menurut al-Hakim, As-Suyuti , Al-Jami' As-Soghir, no 7361, 4/397 cet Jahabersa).

Syeikh Al-Munawi menegaskan ubat yang terbaik bagi pasangan yang sedang asyik bercinta dan kasih adalah Nikah ( Faidhul Qadir, 5/294)

4) Jangan menghebahkan kepada awam sekali mana belum di ijab kabulkan, kerana ikatan ‘janji untuk berkahwin' boleh membawa fitnah dengan mudah. Ia juga boleh terungkai dengan beberapa cabaran semasa pertunangan. ( Nizom al-Usrah Fil Islam, 1/214)

5) Jangan bertemu berdua-duaan di luar, sama ada di tempat terbuka atau tertutup, kecuali diiringi mahram lelaki yang telah dewasa dan mampu menilai baik buruk menurut Islam. Saya nyatakan begini kerana ramai juga mahram lelaki yang ‘merapu' dan tidak langsung punyai ilmu tentang batas hubungan lelaki wanita menurut Islam. Kehadiran orang seperti ini, akan membiarkan maksiat berlaku di antara dua insan tadi, oleh itu individu sepertinya tidak mencukupi syarat yang ditetapkan Islam.

6) Mengurangkan komunikasi (tidak terlalu kerap sampai lalai) yang tidak berkenaan, serta mengawal isi kandungan perbincangan dari yang membawa syahwat. Mengetahui hati budi bakal pasangan menggunakan alatan media elektronik seperti email, surat dan sms lebih baik dari bercakap dalam banyak keadaan (kerana mendengar suara mudah menaikkan syahwat). Bagaimanapun, saya tidak menafikan email, surat dan sms juga boleh menaikkan syahwat, tetapi saya kira secara ‘verbal' lebih mudah.

7) Kerana perbicaraan adalah panjang dan dalil amat banyak, ringkasan perkara perlu ( semuanya menurut dalil al-Quran & Al-hadith) dijaga seperti berikut :-


1. Haram bersentuh, menyentuh satu sama lain.
2. Haram ber"dating" dan berkapel (seperti belangkas) tanpa disertai mahram yang thiqah.
3. Haram berbicara dan bersembang dengan syahwat sama ada sms, phone, chat, mesengger.
4. Awas fitnah masyarakat sekeliling.
5. Awas fitnah dalam diri anda dan pasangan.
6. Haram melihat kepada aurat masing-masing.
7. Awas daripada bertukar gambar.
8. Awas daripada hebahan umum sebelum di ijab kabul.

Ingatlah wahai anak-anak muda sekalian, sebarang perilaku 'ringan-ringan' dan dosa yag dikerjakan dalam hubungan sewaktu pertunangan boleh memberikan serba ringkas gambaran bagaimana tingkah laku pasangan selepas berkahwin. Jika semasa berpacaran dia suka meraba-raba, demikian jugalah dia apabila sudah berkahwin kelak (kecuali sesudah dia bertaubat sebenar-benar taubat). Malangnya bukan dengan isteri atau suaminya selaku pasangannya yang halal, tetapi dengan individu lain sebagaimana tergamak dia melakukannya dengan isteri dan suaminya sebelum mereka kahwin. Baca lanjut di sini.

Sekian, Wallahu'alam.

Sumber: Ust Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
15 Disember 2006

Tuesday, October 26, 2010

Lelaki dan blue

Posted by salafus-sholih at 5:22 PM
Blue, suatu istilah yang tak perlu diperkenal lagi. Ianya cukup sinonim dengan kaum lelaki pada masa kini. Mereka tidak kira pelajar sekolah, kolej dan universiti, baik penganggur dan pekerja awam, kesemuanya pasti cukup mengenalinya.

Mereka yang terjebak bagaikan seorang penagih dadah. Sekali terpaut, jiwa bagai meronta-ronta untuk mengaut buat kali seterusnya. Jika dahulunya untuk mencari blue, mereka perlu meredah hiruk pikuk kota dan menyusuri jalan petaling. Tetapi sekarang tidak perlu lagi. 

Blue kini dapat diakses begitu mudah, hanya berada pada hujung jari mereka sahaja. Buatlah pencarian di mana-mana browser di internet, sekelip mata terpapar apa yang diingini. Tambah-tambah lagi dengan adanya telefon bimbit berkamera yang boleh memainkan video berresolusi 1024x768, mereka boleh saling bertukar-tukar informasi blue mengikut citarasa mereka dan boleh ditonton bila-bila masa sahaja. Dan yang paling penting adalah mereka tidak perlu lagi berdepan risiko dimaki hamun tauke jurujual VCD blue lagi!

Lelaki dan couple

Mereka yang terjebak dengan blue, pasti akan ber’couple’ (berkhalwat). Ini bukanlah suatu perkara yang memelikkan kerana bagi mereka, menonton blue sahaja tidak mencukupi. Menonton blue bagaikan menagih dadah seperti yang dikatakan sebelum ini. Pada mulanya mereka melihat gambar, kemudian menonton video, dan akhirnya sudah tiba masanya untuk mencari seseorang untuk dijadikan ‘kambing hitam’. Setelah berlaku declaration, maka bermulalah pemasangan strategi-strategi oleh mereka ini. Apabila mereka berdepan dengan couple mereka, mereka cuba mengimbas kembali aksi-aksi di dalam video blue yang ditonton tadi, cuma kali ini wataknya cuba dikaitkan dengan pasangannya itu. Dan sekali lagi, bayangan mereka ini masih belum memenuhi kehendak nafsu mereka lagi.


Pada zahirnya, kaum lelaki tampak seorang yang mengambil berat, sering bertanya khabar, memuji-muji kaum hawa supaya dapat meruntum jiwa mereka. Mereka akan berlakon watak ‘lelaki paling baik di dunia’ dan ianya memang terbukti berjaya. Tidak hairanlah apabila ditanya pada kebanyakan para wanita diluar sana, masing-masing mengaku memperoleh pasangan couple terbaik dan kononnya tiada lagi lelaki lain yang dapat menandingi pasangan mereka itu. 

Bagi lelaki tersebut, tidak kira gelaran ‘baik’ diperoleh atau tidak, mindset mereka memang sudah ditetapkan sejak awal-awal lagi dan misi mereka harus dicapai secepat mungkin. Mereka cuba mencuba sehingga apabila berjaya menguasai perasaan pasangan mereka, maka bertindaklah mereka! Setelah habis diperalat, dikatakan telah puas, maka ditinggallah kaum wanita yang malang tadi. Jika kaum wanita itu ‘bernasib baik’, sampailah mereka ke jinjang pelamin walaupon telah dipalit dengan aksi-aksi yang menjijikan tadi . Dan kita pula terpedaya dengan 'kebahagian' pasangan couple itu.

Jaga pandangan
Menjadi lumrah, antara kaum adam dan hawa saling menegur. Kaum adam kini cukup prihatin dalam menjaga soat aurat. Mereka menegur wanita yang selalu memakai sendat. Mereka menegur muslimah yang bertudung tetapi mendedah dada. Ya, satu tindakan yang terpuji, namun yang tidak enaknya selang beberapa lama kemudian, mereka mula membuka leptop dan menonton koleksi video 3gp. Dan setibanya seorang wanita yang terdedah auratnya, mata mereka tidak berkelip-kelip. Mungkin mereka telah lupa, Allah SWT berfirman:
“Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman agar mereka tundukkan pandangan dan memelihara kemaluan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah maha mengetahui apa yang mereka lakukan.” (Surah al-Nur: 30)

Jadi, apakah bezanya kaum lelaki ini dengan muslimah yang tidak menutup aurat tadi, sedangkan mereka sendiri tidak melaksanakan perintah tuhan sewajarnya? Mereka seolah-olah mencari alasan untuk memuaskan nafsu serakah mereka sendiri disebalik kegagalan kaum muslimah tidak menutup aurat. Bagi mereka, apabila kesemua wanita di muka bumi ini menurut perintah menutup aurat dengan sempurna, barulah mereka hendak bertindak menjaga pandangan yang sepatutnya. Dan adakalanya, mereka membuat lawak disebalik peringatan yang diberi Rasulullah SAW:
"Jangan kamu ikuti satu pandangan dengan pandangan yang lain, kerana yang pertama bagimu ( diampunkan) dan tidak bagi yang kedua" (Riwayat Ahmad, Abu Daud)

“Ala... baru sahaja pandangan pertama, rilekslah... tak berdosa pon”. Itulah kata-kata mereka dengan tersengih-sengih memerhatikan kelibat tubuh wanita yang dipandangnya. Langsung tidak mengalih pandangan mereka samaada pandangan pertama, kedua, ketiga dan seterusnya. Ternyata selepas itu mereka dihimpit bayangan jijik yang membuak-buak di pemikiran mereka dan seterusnya terpaksa mencari blue untuk menuruti ketuhanan nafsu mereka. Inilah akibatnya apabila hukum hakam tuhan pada mulanya dibuat gurauan, akhirnya memakan diri.

Cabaran masa kini

Cuba bandingkan pemikiran anda dengan ayah-ayah, pakcik-pakcik serta datuk-datuk anda. Mereka memang jauh berbeza bagaikan langit dan bumi dengan anda. Jikalau dulu ayah anda mengenal erti seks ketika umur lewat belasan tahun, anda pula lebih advance, mungkin awal belasan tahun lagi. 

Tidak syak lagi, ini semua berlaku gara-gara perkembangan teknologi yang begitu pesat. Baik media cetak mahupun elektronik, kesemuanya menarik perhatian pandangan lelaki-lelaki. Lihatlah akhbar-akhbar tempatan, rancangan-rancangan TV, mahupun filem-filem wayang, segalanya dipenuhi gambar mendedah aurat. 

Setuju tak sekiranya dikatakan rating acara terjun dalam sukan komanwel baru-baru ini adalah paling tinggi berbanding acara-acara sukan lain? Kemudian, tatkala anda melayan aksi kuasa luar biasa yang ada pada watak-watak dalam drama bersiri Heroes, berapa banyak matakah yang tidak terkelip-kelip sangkut memerhati watak Claire Bennet? Ini tak termasuk lagi filem-filem Hollywood yang anda torrent sendiri, konon-kononnya ingin menikmati kehebatan jalan ceritanya tetapi berapa kalilah anda mengulang tayang adegan-adegan selitan yang menjijikkan? Ini semua kaedah alternatif bagi mereka yang menafikan menonton blue, tetapi cuba memenuhi hawa nafsu dengan cara tersendiri.

Inilah cabaran yang perlu ditempuh buat kaum lelaki masa kini. Lupakanlah segala hidangan-hidangan dunia yang memerangkap anda sendiri. Ingatlah, sesungguhnya perlakuan zina itu bermula dengan pandangan mata yang tidak dikawal oleh iman dan takwa. Bermula dengan melihat aurat wanita, ia membawa seseorang itu berkenalan dengan lebih rapat, menjalin hubungan dengannya, dan seterusnya berlaku perzinaan dan berakhir dengan pembuangan bayi. Berusahalah sedaya upaya melawan keinginan nafsu anda dan ketahuilah sesungguhnya melawan nafsu itu adalah seolah-olah seperti sedang berjihad. Jadi, janganlah menjadikan kaum muslimah, teknologi dan sebagainya untuk dipersalahkan dalam mengabaikan hukum menjaga pandangan. Rasulullah SAW bersabda:
Orang yang berjihad ialah orang yang melawan nafsunya” (HR Tirmizi)

Maka, sudah tiba masanya masing-masing memainkan peranan! Disamping kaum muslimah menjaga pemakaian mereka, kaum muslimin haruslah menjaga pandangan pula. Marilah kita sama-sama bergerak ke hadapan untuk menuju kesudahan yang baik. Tinggalkan segala kemungkaran dan jangan memenangkan pujuk-rayu dan dorongan syaitan. Sentiasalah ingat pada Allah SWT dan insyaallah hati pasti tenang, seterusnya kita tidak akan mencari sesuatu yang lebih gembira daripada ini.


(Bukan semua lelaki adalah bersifat sedemikian seperti yang diceritakan di atas. Namun untuk mencari lelaki yang bukan bersifat demikian adalah sangat sukar pada masa kini)

Sunday, October 24, 2010

Menjumpai Barang Yang Tercicir mengikut ISLAM

MUQADDIMAH

Sudah menjadi lumrah kita sebagai manusia, apabila kita menjumpai barang yang bukan kepunyaan kita, kita akan mengambil tindakan seperti:
  1. Mengambilnya untuk kegunaan kita sendiri dengan alasan tiada yang menuntutnya.
  2. Memberi atau meletakkan barang tersebut di surau/masjid.
  3. Menjadikan barang tersebut sebagai satu sedekah pada orang miskin.
  4. Membiarkan barang tersebut tanpa sebarang tindakan dengan alasan bahawa ada orang lain yang akan mnguruskannya.
Mengambil barang yang bukan hak milik kita atau mensedekahkannya kepada satu pihak yang tertentu walaupun dengan niat yang baik, adalah satu perbuatan yang salah dari segi syariat, kecuali setelah mengambil langkah-langkah yang telah digariskan oleh syariat.

DEFINISI LUQATAH

Harta ataupun barang yang dihormati yang dijumpai di tempat yang bukan milik individu dan ianya tidak ada tanda-tanda di bawah jagaan sesiapa dan tidak diketahui siapakah yang berhak untuk barang tersebut.

PENSYARIATAN MENGAMBIL BARANG YANG TECICIR

Nabi S.A.W. bersabda apabila ditanya tentang barang yang tercicir:

اعرف وكاءها وعفاصها ثم عرفها سنة فإن لم تعرف فاستنفقها ولتكن وديعة عندك فإن جاء طالبها يوما من الدهر فأدها إليه
“Hendaklah kamu mengenal pasti pengikat bungkusan barang tersebut dan bekas barang tersebut, kemudian hendaklah kamu wawarkan selama setahun. Sekiranya kamu tidak menjumpai tuan barang tersebut, dan hendaklah kamu simpan dan pelihara dalam jagaan kamu, dan apabila datang pemilik barang tersebut, pada bila-bila masa, hendaklah kamu menyerahkan barang itu kepadanya.”
Hadis riwayat bukhari (2295) dan Muslim (1722)

HUKUM MENGAMBIL BARANG YANG TERCICIR

Ia mempunyai 5 hukum:

  1. SUNAT:
- Bagi orang yang mempunyai sifat amanah dan ditakuti ianya hilang jika dia tidak mengambilnya.
  1. HARUS:
- Sekiranya tidak ditakuti ianya hilang jika tidak mengambilnya.
  1. WAJIB:
- Sekiranya dia yakin, jika dibiarkan, barang itu pasti akan hilang.

LANGKAH-LANGKAH YANG PERLU DIBUAT APABILA MENJUMPAI BARANG YANG HILANG

  1. Sekiranya barang tersebut adalah barang yang remeh-temeh, iaitu yang mana manusia tidak kisah kehilangan barang tersebut, maka orang yang menjumpai boleh mengambilnya tanpa perlu mewarwarkannya atau mencari tuannya.
  2. Sekiranya ia adalah barang yang bernilai, iaitu yang mana tuannya akan mencari barang tersebut, maka wajib orang yang menjumpai mewarwarkannya.
  3. Maka, orang yang menjumpai barang itu tadi, hendaklah dia mengenal pasti sifat-sifat barang tersebut.
  4. Orang yang menjumpai barang itu tadi hendaklah bertanya akan sifat-sifat barang itu kepada sesiapa yang mengaku sebagai tuan sebenar kepada barang tersebut.
  5. Kalau si pendakwa itu menjawab dengan tepat, dan diyakini oleh orang yang menjumpainya bahawa dialah pemiliknya, maka serahkan kepadanya.
  6. Sekiranya masih lagi berterusan, tidak ada yang mengaku, atau tidak diyakini pendakwa itu sebagai tuan yang sebenar, maka hendaklah orang yang menjumpainya mencari tuannya selama setahun. Tempoh masa setahun ini adalah bagi barang-barang yang sangat bernilai. Sekiranya barang itu tidak sangat bernilai, maka tempohnya tidak sampai setahun dan ianya mengikut nilai barang tersebut.
  7. Tempat yang diwawarkan adalah tempat yang umum, tempat yang dihadiri oleh orang yang ramai (pasar, sekolah, perhentian-perhentian dan lain-lain).
  8. Jikalau telah tamat tempoh pencarian tuan tersebut, maka dia boleh simpan sebagai harta amanah dan mengembalikan kepada tuannya sekiranya tuannya datang menuntut. Ataupun pilihan yang kedua, dia boleh memiliki barang tersebut dan membayar mengikut nilai barang tersebut sekiranya tuannya datang menuntut.


INI ADALAH PENJELASAN RINGKAS TENTANG TAJUK BARANG TERCICIR DALAM FEKAH MUAMALAT MAZHAB SYAFIE. IA PERLUKAN KEPADA PEMERINCIAN DAN PENERANGAN.

Friday, October 22, 2010

Kesempurnaan Diri Muslim

14 Zulkaedah 1431 H
Oleh : ZAMRI



HADIS MUTHAHHARAH

Daripada Sayyidina Khalid bin Al-Walid Radiallahu
'anhu telah berkata : Telah datang seorang arab desa
kepada Rasulullah S. A. W yang mana dia telah
menyatakan tujuannya

: Wahai Rasulullah! sesungguhnya
kedatangan aku ini adalah untuk bertanya engkau
mengenai apa yang akan menyempurnakan diriku di dunia
dan akhirat. Maka baginda S. A. W telah berkata
kepadanya Tanyalah apa yang engkau kehendaki :

Dia berkata : Aku mahu menjadi orang yang alim

Baginda S. A. W menjawab : Takutlah kepada Allah maka
engkau akan jadi orang yang alim

Dia berkata : Aku mahu menjadi orang paling kaya

Baginda S. A. W menjawab : Jadilah orang yang yakin
pada diri maka engkau akan jadi orang paling kaya

Dia berkata : Aku mahu menjadi orang yang adil

Baginda S. A. W menjawab: Kasihanilah manusia yang
lain sebagaimana engkau kasih pada diri sendiri maka
jadilah engkau seadil-adil manusia

Dia berkata : Aku mahu menjadi orang yang paling baik

Baginda S. A. W menjawab: Jadilah orang yang berguna
kepada masyarakat maka engkau akan jadi sebaik-baik
manusia

Dia berkata : Aku mahu menjadi orang yang istimewa di
sisi Allah

Baginda S. A. W menjawab : Banyakkan zikrullah nescaya
engkau akan jadi orang istimewa di sisi Allah

Dia berkata : Aku mahu disempurnakan imanku

Baginda S. A. W menjawab : Perelokkan akhlakmu nescaya
imanmu akan sempurna

Dia berkata : Aku mahu termasuk dalam golongan orang
yang muhsinin
(baik )

Baginda S. A. W menjawab : Beribadatlah kepada Allah
seolah-olah engkau melihatNya dan jika engkau tidak
merasa begitu sekurangnya engkau yakin Dia tetap
melihat engkau maka dengan cara ini engkau akan
termasuk golongan muhsinin

Dia berkata : Aku mahu termasuk dalam golongan mereka
yang taat

Baginda S. A. W menjawab : Tunaikan segala kewajipan
yang difardhukan maka engkau akan termasuk dalam
golongan mereka yang taat

Dia berkata : Aku mahu berjumpa Allah dalan keadaan
bersih daripada dosa

Baginda S. A. W menjawab : Bersihkan dirimu daripada
najis dosa nescaya engkau akan menemui Allah dalam
keadaan suci daripada dosa

Dia berkata : Aku mahu dihimpun pada hari qiamat di
bawah cahaya

Baginda S. A. W menjawab : Jangan menzalimi seseorang
maka engkau akan dihitung pada hari qiamat di bawah
cahaya

Dia berkata : Aku mahu dikasihi oleh Allah pada hari
qiamat

Baginda S. A. W menjawab : Kasihanilah dirimu dan
kasihanilah orang lain nescaya Allah akan
mengasihanimu pada hari qiamat

Dia berkata : Aku mahu dihapuskan segala dosaku

Baginda S. A. W menjawab : Banyakkan beristighfar
nescaya akan dihapuskan (kurangkan ) segala dosamu

Dia berkata : Aku mahu menjadi semulia-mulia manusia

Baginda S. A. W menjawab : Jangan mengesyaki sesuatu
perkara pada orang lain nescaya engkau akan jadi
semulia-mulia manusia

Dia berkata : Aku mahu menjadi segagah-gagah manusia

Baginda S. A. W menjawab : Sentiasa menyerah diri
(tawakkal) kepada Allah nescaya engkau akan jadi
segagah-gagah manusia

Dia berkata : Aku mahu dimurahkan rezeki oleh Allah

Baginda S. A. W menjawab : Sentiasa berada dalam
keadaan bersih ( dari hadas ) nescaya Allah akan
memurahkan rezeki kepadamu

Dia berkata : Aku mahu termasuk dalam golongan mereka
yang dikasihi oleh Allah dan rasulNya

Baginda S. A. W menjawab : Cintailah segala apa yang
disukai oleh Allah dan rasulNya maka engkau termasuk
dalam golongan yang dicintai oleh Mereka

Dia berkata : Aku mahu diselamatkan dari kemurkaan
Allah pada hari qiamat

Baginda S. A. W menjawab : Jangan marah kepada orang
lain nescaya engkau akan terselamat daripada kemurkaan
Allah dan rasulNya

Dia berkata : Aku mahu diterima segala permohonanku

Baginda S. A. W menjawab : Jauhilah makanan haram
nescaya segala permohonanmu akan diterimaNya

Dia berkata : Aku mahu agar Allah menutupkan segala
keaibanku pada hari qiamat

Baginda S. A. W menjawab : Tutuplah keburukan orang
lain nescaya Allah akan menutup keaibanmu pada hari
qiamat

Dia berkata : Siapa yang terselamat daripada dosa?

Baginda S. A. W menjawab : Orang yang sentiasa
mengalir air mata penyesalan, mereka yang tunduk pada
kehendakNya dan mereka yang ditimpa kesakitan

Dia berkata : Apakah sebesar-besar kebaikan di sisi
Allah?

Baginda S. A. W menjawab : Elok budi pekerti, rendah
diri dan sabar dengan ujian (bala )

Dia berkata : Apakah sebesar-besar kejahatan di sisi
Allah?

Baginda S. A. W menjawab : Buruk akhlak dan sedikit
ketaatan

Dia berkata : Apakah yang meredakan kemurkaan Allah di
dunia dan akhirat ?

Baginda S. A. W menjawab : Sedekah dalam keadaan
sembunyi ( tidak diketahui ) dan menghubungkan kasih
sayang

Dia berkata: Apakan yang akan memadamkan api neraka
pada hari qiamat?

Baginda S. A. W menjawab : sabar di dunia dengan bala
dan musibah

Telah berkata Imam Mustaghfirin: aku tidak pernah
menjumpai hadis yang besar dan merangkumi kesempurnaan
agama dan bermanafaat selain hadis ini.

Dosa Yang Terpaksa

14 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Iqbalsyarie Bin Shaari

Percaya atau tidak,dalam dunia ini ramai orang yang 'terpaksa' melakukan dosa. Bukan dosa darurat kerana dia sememangnya punyai pilihan samada untuk meninggalkan atau bergelumang dengan dosa itu.

Sebaliknya, dia 'terpaksa' dalam erti kata lain, dia tidak mampu menghalang dirinya daripada meninggakan terus maksiat itu.
Inilah masalah yang seringkali terlepas pandang oleh para pendakwah muda khususnya. Orang muda, sifatnya lebih mudah menghukum. Kurang rasionalnya, kurang timbang rasanya.

Bayangkanlah, seseorang yang sudah bertahun-tahun berenak-enak dengan suatu dosa, pasti teramat sukar baginya untuk meninggalkan dosa itu.

Sebagai contoh, seseorang anak muda yang sejak usianya belasan sudah pandai clubbing dan kini sudah 30-an, pasti sukar baginya untuk menghentikan tabiat buruk itu. Makanya, kita tidak boleh menghukum terus sebaliknya kita boleh 'meringankan' dosanya.

Bagaimana?

Jika kita buka surah Yusuf ayat 9 dan 10, kita lihat bagaimana anak-anak Nabi Ya'akob merancang untuk membunuh adik mereka (Nabi Yusuf). Lalu timbul persoalan, anak-anak seorang rasul pun mahu membunuh saudara kandungnya? Ayahnya tidak mendidik merekakah?

Maka jika kita lihat sekali lagi, jelas rancangan asal mereka ialah untuk membunuh tapi bangun seorang yang paling tua dalam kalangan mereka mencadangkan agar Yusuf tidak dibunuh, sebaliknya sekadar dibiarkan di dalam perigi, moga-moga ada orang musafir yang mengutipnya.

Di sini kita memerhatikan dua pengajaran.

Pertama,hasad dan dengki akan membuatkan kita sanggup melakukan apa sahaja untuk menjatuhkan musuh. Demikianlah yang terjadi kepada adik-beradik Nabi Yusuf a.s yang jealous dan cemburu dengan kasih sayang yang ditunjukkan oleh bapa mereka, Nabi Yaakub kepada Nabi Yusuf a.s berbanding dengan orang lain.

Kedua, orang yang ditarbiyyah, jika dia 'terpaksa' melakukan sesuatu dosa kerana sudah dikuasai nafsu dan syaitan dia pasti akan melakukan dosa itu dengan mengambil dosa yang paling sedikit kesannya.

Dalam keadaan masyarakat masa kini,untuk kita lari dan tinggalkan 100% dosa silam, itu adalah sesuatu yang sukar melainkan jika Allah mengkehendakinya begitu. Yang pasti, ramai dalam kalangan kita sudah punya hidayah tapi belum dikurniakan taufik. Ramai yang sudah diberi kesedaran (hidayah) tapi tak ramai yang diberi kekuatan (taufik) untuk melakukan kebaikan seperti yang hati kecilnya mahu.

Ini dibuktikan dengan firman Allah dalam surah al-hujurat ayat 7 bahawa fitrah manusia, tidak kisah sejahat manapun dia, dia cenderung kepada keimanan dan membenci kepada kekufuran dan dosa. Kita boleh tipu orang lain, tapi kita takkan boleh tipu diri kita. Kita mahu mengenal Allah.

Kita mahu menjadi pemuda yang dekat dengan masjid. Kita mahu jadi orang yang baik. Tapi kadangkala kita terlalu ego untuk mengaku bahawa kita mahu berubah.

Maka,di situ lah peranan da'ei sebagai penyeru dan bukannya penghukum. Apa yang terjadi, jika kita mudah menghukum orang lain ,maka hati kecil yang nak berubah ini terus tertutup dek kecewa dengan sikap orang-orang berkopiah ini. Apakah ini yang dinamakan jenayah kopiah putih?

Saya faham...
Maka,saya sama sekali tidak pernah menyalahkan mana-mana orang yang bermaksiat. Cuma yang saya marahkan ialah maksiat itu,bukan pelakunya. Saya tahu, untuk mengelakkan maksiat itu bukannya mudah. Kerana itu, para ulama dalam menafsirkan bentuk-bentuk sabar, mereka meletakkan sabar dalam meninggalkan maksiat sebagai sabar yang paling tinggi tarafnya.

Susah nak tinggal kebiasaan jahat kita,tapi ia boleh. Apa yang perlu, ialah azam dan keinginan yang kuat untuk berubah. Jika hari ini kita buat maksiat 5 kali, mungkin minggu depan kita buat 4 kali.

Sedikit demi sedikit, kita kurangkan. Terus menerus kita kurangkan dan insyaAllah kita boleh tinggalkan terus! Yakinlah! Dan, jadilah manusia yang bijak yang mengurangkan impak dosa.

Kesimpulan
Saya mahu mengajak anda supaya memasang niat untuk meninggalkan terus maksiat. Saya pasti anda bukan malaikat, tak boleh lari daripada melakukan dosa sama seperti saya juga.

Maka kerana itulah, jika tak tahan juga nak buat dosa, pilihlah dosa yang kecil dan bertaubatlah selepas itu. Taubat, moga-moga timbul kesal dan insaf.

Dan paling penting, jangan sesekali kita berbangga-bangga (heboh-hebohkan) dengan perbuatan dosa itudan jangan pula kita mengajak orang lain untuk turut sama melakukan dosa.

Bersikap baik kepada keluarga.

14 Zulkaedah 1431 H
Oleh : YB. Drs. Khalil Idham Lim

“SeSebaik-baik kalian adalah orang yang bersikap baik kepada keluarganya. Dan aku adalah orang yang terbaik bagi keluargaku” (HR at-Tirmidzi dan Abu Daud).Sebahagian orang merasa sudah tepat menjalani hidup di jalan Allah.

Sebab, sudah mengikuti Rasulullah, telah melakukan segala macam ibadah wajib dan sunnat, serta telah berbuat baik untuk umat. Namun, ada juga yang hanya berbuat baik kepada umat di luar keluarganya, sedangkan keluarganya diabaikan. Ada suami yang menjadikan isterinya bagaikan hamba.

Begitu mudah marah terhadap isteri hanya kerana hidangan makan tengahhari nya terlambat Bahkan, ada suami yang merasa “haram” memasak untuk isterinya seumur hidup, meskipun sempat dilakukan.

Padahal, keluarga merupakan sebahagian kecil dari umat Islam kesleuruhannya. Kalau menelusuri kehidupan Rasulullah, beliau memperlakukan keluarganya dengan sangat baik.

Bila pulang ke rumah dan mendapati tiada makanan, beliau akan bersabar dan bahkan berpuasa. Bila memanggil isterinya, beliau menggunakan kata-kata yang baik dan lembut.

Rasulullah sendiri mengakui kalau beliau adalah orang yang terbaik untuk keluarganya. Hal ini juga diakui oleh orang yang pernah membantunya. Katanya, selama sekian tahun bersama Rasul, tidak pernah mendengar kata-kata yang tidak enak di hati.

Demikianlah Rasulullah s.a.w. memberi contoh untuk diikuti oleh umatnya spanjang zaman.

Kerana itu, penting bagi setiap insan untuk berpikir tentang umat Islam , termasuklah umat Islam terkecil iaitu keluarganya sendiri. Sesunbgguhnya pembinaaan umat perlu dari keluarga sendiri.

Sebab, kita lebih tahu apa yang terjadi dalam keluarga sendiri, berbanding dengan apa yang terjadi dalam keluarga orang lain.

Jika setiap orang mahu mengawal dan mampu mengawal umat dalam keluarganya sendiri, maka dengan sendirinya umat yang besar akan ikut terkawal juga. Semoga Allah menjauhkan kita dari perasaan yang menipu diri kita sendiri.