Saturday, April 14, 2012

Jagalah Tepi Kain Sendiri Jangan Sampai Terselak

Assalamualaikum..
 Dalam masyarakat Melayu ada satu pepatah yang begitu terkenal yang menggambarkan kepedulian masyarakat yang begitu mendalam terhadap hal ehwal orang lain. Terkenalnya pepatah ini sehingga ianya sering digunakan oleh orang Melayu dan mungkin juga orang bukan Melayu dalam perbualan harian berbanding dengan pepatah-pepatah yang lain. Pepatah yang dimaksudkan ialah ‘jangan jaga tepi kain orang' yang membawa maksud jangan ambil peduli hal orang lain.
 Persoalannya ialah adakah pepatah ini masih relevan dengan cara hidup kita hari ini? Dan lebih-lebih lagi kita orang Islam adakah pepatah ini selaras dengan tuntutan agama? Sebenarnya pepatah ini mempunyai pro dan kontranya yang tersendiri bergantung dari sudut mana kita melihatnya.

Sekiranya pepatah ‘jangan jaga tepi kain orang' ini membawa maksud buangkan sifat ingin tahu yang berlebih-lebihan mengenai sifat buruk dan keaiban seseorang maka memang layak pepatah ini diamalkan. Ini adalah kerana sifat suka mengambil tahu tentang keburukan orang lain seringkali akan disusuli pula dengan tabiat suka menyebarkan keburukan itu kepada orang lain. Ini mengupat namanya dan diharamkan oleh agama. Bahkan al Quran telah mengingatkan kita supaya menjauhi sifat buruk ini di dalam surah al Hujurat, sebahagian daripada ayat ke 12, yang maksudnya:

"Janganlah setengah daripada kamu mengupat setengah yang lain..."

Begitu juga pepatah ini wajar diterima-pakai dan diamalkan sekiranya ia membawa maksud menjauhi sifat suka mengintip dan mencari-cari kesalahan orang lain. Hal ini juga telah diperingatkan kepada kita oleh Islam supaya menjauhi sifat ‘tajassus' atau mengintip dengan tujuan untuk mencari keaiban dan keburukan orang yang tersembunyi, sepertimana firman Allah SWT di dalam surah dan ayat yang sama seperti di atas, yang membawa maksud:

"Dan janganlah kamu mengintip dan mencari-cari kesalahan dan keaiban orang..."

Buruknya amalan mengupat dan sifat ‘tajassus' ini sehingga Rasulullah SAW sendiri telah mengingatkan kita supaya menjauhi sifat-sifat ini dengan sabda Baginda yang bermaksud:

"Wahai golongan yang beriman dengan lisannya, tetapi tidak beriman dengan hatinya; Janganlah kamu mengumpat kaum Muslimin dan janganlah kamu mengintip keaiban mereka, maka barang siapa yang mengintip keaiban saudaranya, nescaya Allah akan mengintip keaibannya, dan siapa yang diintip Allah akan keaibannya maka Allah akan membuka keaibannya walaupun dirahsiakan di lubang kenderaannya"

(Hadith riwayat at Tirmidzi)

Namun apa yang ingin dilihat disebalik pepatah yang kelihatannya tidak begitu molek diamalkan ini ialah ianya
masih tetap relevan dengan tuntutan kehidupan harian kita masa kini sehingga mungkin ianya terpaksa diubah dari ‘jangan jaga tepi kain orang' kepada ‘tolong jaga tepi kain orang'. Apa yang ingin dimaksudkan di sini ialah kita harus mengakui bahawa persekitaran hidup kita sekarang tidak lagi aman dan selamat seperti suatu masa dahulu..

sesuai juga ditambah peribahasa :

"jagalah tepi kain orang jangan asyik suka untuk menyelaknya " dan "jagalah tepi kain sendiri jangan sampai terselak" :)
Warkah Ust Azhar Idrus utk Sham Kamikazi

No comments:

Post a Comment