Thursday, December 20, 2012

Perspektif Guru J-QAF


Jauh di sudut hati pelajar lulusan Pengajian Islam universiti luar negara, bertugas sebagai guru J-Qaf bukanlah matlamat kerjaya utama. Ia sebagai wasilah untuk mengetengahkan diri dalam masyarakat pada permulaan sebelum menjadi penggerak masyarakat ke arah peribadi muslim.

Di medan ini jugalah menjadi tempat praktikal dan latihan untuk membaca masyarakat sebelum melangkah di medan aneka pemikiran, ideologi dan ragam seantero.

Kecewa dengan nada herdik bahawa ramai graduan lulusan ini hanya pandai mengisi kekosongan di jawatan itu seusai tamat pengajian dan peranan mereka tidak mencerminkan taraf latar belakang pendidikan dan lulusan itu.

Jika diperhatikan nafas Islam di Malaysia, peranan golongan ini sangat diperlukan dalam merubah situasi dunia ketiga di Malaysia  terutama di tanah Borneo. Sedih bila diketahui peratus kefahaman individu muslim di Malaysia berkaitan asas nilai Islami sangat kecil.

Usah sesekali memperkecilkan bidang kerjaya itu kerana mereka adalah insan yang sangat bernilai dalam masyarakat yang semakin hiruk piruk. Mereka hadir dicelah-celah masyarakat untuk memberi cahaya kepada mereka yang masih meraba-raba dalam kegelapan dan mereka ini jugalah yang memberi pensil untuk manusia mengarang kitab.

Apa salahnya mereka mencari rezeki tetap menggunakan kupon J-Qaf disamping malamnya pula menyampaikan peringatan kepada ibu ayah anak didiknya. Salahkah mereka mendapatkan tapak sebelum membina menara?

Bahkan lagi maju masyarakat itu sekiranya pelbagai lapisan pekerja memiliki segulung ijazah pengajian Islam hatta pemandu lori pun agar mereka melaksanakan tugasnya dengan lebih penuh berintegriti.


No comments:

Post a Comment