There was an error in this gadget

Thursday, December 20, 2012

Perspektif Guru J-QAF


Jauh di sudut hati pelajar lulusan Pengajian Islam universiti luar negara, bertugas sebagai guru J-Qaf bukanlah matlamat kerjaya utama. Ia sebagai wasilah untuk mengetengahkan diri dalam masyarakat pada permulaan sebelum menjadi penggerak masyarakat ke arah peribadi muslim.

Di medan ini jugalah menjadi tempat praktikal dan latihan untuk membaca masyarakat sebelum melangkah di medan aneka pemikiran, ideologi dan ragam seantero.

Kecewa dengan nada herdik bahawa ramai graduan lulusan ini hanya pandai mengisi kekosongan di jawatan itu seusai tamat pengajian dan peranan mereka tidak mencerminkan taraf latar belakang pendidikan dan lulusan itu.

Jika diperhatikan nafas Islam di Malaysia, peranan golongan ini sangat diperlukan dalam merubah situasi dunia ketiga di Malaysia  terutama di tanah Borneo. Sedih bila diketahui peratus kefahaman individu muslim di Malaysia berkaitan asas nilai Islami sangat kecil.

Usah sesekali memperkecilkan bidang kerjaya itu kerana mereka adalah insan yang sangat bernilai dalam masyarakat yang semakin hiruk piruk. Mereka hadir dicelah-celah masyarakat untuk memberi cahaya kepada mereka yang masih meraba-raba dalam kegelapan dan mereka ini jugalah yang memberi pensil untuk manusia mengarang kitab.

Apa salahnya mereka mencari rezeki tetap menggunakan kupon J-Qaf disamping malamnya pula menyampaikan peringatan kepada ibu ayah anak didiknya. Salahkah mereka mendapatkan tapak sebelum membina menara?

Bahkan lagi maju masyarakat itu sekiranya pelbagai lapisan pekerja memiliki segulung ijazah pengajian Islam hatta pemandu lori pun agar mereka melaksanakan tugasnya dengan lebih penuh berintegriti.


Wednesday, November 21, 2012

Motivasi dari Abuya..



Hari ini aku di Jordan, menghirup udara dan menggali ilmu di bumi orang. Teringat abuya di masa lapangnya sering membawa kami menikmati pemandangan di tepi pagar duri Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, melihat dengan megahnya kapal terbang membelah dan hilang ditelan awan tanpa anak-anak kecil itu mengerti maksud sebenar yang ingin disampaikan.

Benar, ia adalah proses membina dan mencabar diri. Pernah abuya mencabar kami supaya suatu hari nanti kami mesti merasa menaiki pesawat untuk menimba ilmu di rantau orang. Abuya juga memujuk kami dengan menekan pedal minyak kereta sambil gear bebas seolah-olah kereta juga mampu terbang setelah merasakan keinginan kami menaiki pesawat adalah tidak mungkin. 

Tarikh keramat 22/11 adalah tarikh yang akan dan sentiasa diingati kami sekeluarga sebagai hari berkabung untuk abuya. Selingan malam itu aku berada di asrama kolej meraikan sahabat menang dalam badminton sebelum panggilan dari abang mengejutkan aku dari tidur, dan hujung minggu ini aku bersama dia akan dipilih mewakili batch dalam permainan badminton bagi sukan Feskei.

Tidak memikirkan kesedihan atas abuya tidak menghadiri kenduri kahwin, tapi aku sedih kerana tidak berkesempatan menuntut ilmu didikan anak darinya kerana barangkali dia lebih mengenali siapa aku dan zuriatnya.

Jika aku tahu saat ini abuya berada di hujung dunia sekalipun, nescaya pasti aku akan berhabisan harta dan meninggalkan segala urusan duniawi semata-mata mahu mencium tangan kasarnya dan peluk erat bertemu dengannya walau hanya sesaat.

Masih segar diingatan, dengan nada sayup di malam perjalanan pulang ke kampung untuk memberi penghormatan terakhir terhadap opah, abuya menarik khayalan kami dengan kalamnya “mak tak sempat melihat abang Zul pergi Mesir (sebelum keputusan ke Jordan diambil)”, kalam ini jugalah sering aku ulang setelah abuya juga turut tidak berkesempatan melambai abang dan aku di KLIA.

Belasungkawa allahyarham abuya 1958-2008.. al-Faatihah..

klik disini juga 

Sunday, April 22, 2012

Pemansuhan PTPTN: Satu ancaman kepada Kapitalisme

Karthiges | Apr 16, 2012 07:20:55 pm 
 
Hari ini, ramai anak muda dan mahasiswa dicederakan dan diintimidasi secara kasar oleh pihak polis dan DBKL untuk memusnahkan khemah-khemah yang didirikan untuk meluahkan perasaan menentang PTPTN. Ia adalah reaksi spontan daripada anak muda melalui "Occupy Dataran" untuk tuntutan Pendidikan Percuma dan menghapuskan pinjaman pendidikan tinggi melalui tabung PTPTN.


Dua hari terdahulu, sekumpulan anak muda dan mahasiswa telah berdemonstrasi untuk tuntutan yang sama dan satu mesej yang jelas telah diberikan bahawa agenda untuk menjadikan golongan terpelajar senantiasa di bawah telunjuk kerajaan adalah tidak mungkin berpanjangan. Ada juga dakwaan bahawa kebergantungan terhadap pinjaman PTPTN ini sebenarnya lebih kepada golongan pemodal yang membina kolej-kolej untuk tujuan perniagaan. Persoalannya siapa yang lebih memerlukan PTPTN ini sebenarnya?

PTPTN atau Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional ditubuhkan pada 1997 untuk memberi pinjaman kepada penuntut pengajian tinggi dan selepas belajar, para penghutang ini perlu membayar balik dengan tambahan faedah pengurusan (baca=bunga) sebanyak 4%. Kini kadar faedah bunganya ialah 1%. Menurut Perdana Menteri Malaysia, sejak dimulakan sehingga sekarang sebanyak RM 43 billion telah dipinjamkan oleh tabung ini dan tahun lalu sahaja lebih kurang RM4 billion telah dikeluarkan sebagai pinjaman kepada para penuntut. Tetapi menurut kepimpinan PKR, jumlah sebenar hanyalah RM 27.5 billion sahaja dan baki pinjaman sekarang adalah lebih kurang RM24.7 billion.

Walau apapun angka yang diberitahu, isu yang lebih penting ialah mengapa berbillion ringit telah dikeluarkan sebagai pinjaman? Jawapannya hanya satu. Kenaikan yuran pengajian yang melambung tinggi di awam dan swasta. Lebih-lebih lagi, penubuhan ratusan kolej-kolej untuk penawaran pendidikan tinggi dari sijil hinggalah ke Sarjana dan PhD. Sekiranya, sebuah kursus dikenakan bayaran lebih kurang RM 22,000 di universiti / kolej awam, mengapakah bayarannya lebih dua kali ganda di kolej swasta untuk pengajian kursus yang sama? Siapa yang benarkannya? Siapa yang memantaunya? Kerajaan atau "bapa"nya di sektor swasta?

Siapa yang untung di sini? Jom kita ambil kursus kejururawatan di Malaysia! Kolej manakah yang menerima pinjaman PTPTN tertinggi di Malaysia? Kolej Masterskill! Pada tahun 2009 sahaja, mereka menerima RM145.5 juta. Tetapi, tahukah kita bahawa Pengerusi Masterskill Governing Council ialah Mohamed Nazim bin Abdul Razak iaitu adik Perdana Menteri Malaysia dan Cancellor Kolej Universiti Sains Kesihatan Masterskill (MUCH) ialah Raja Azureen iaitu anak kepada Sultan Perak. Untung kolej ini pada tahun tersebut ialah RM 97.4 juta. Siapa yang merasai keuntungan ini?

Di pihak yang lagi satu? Anak muda kita yang menuntut kursus kejururawatan ini. Apakah nasib mereka? Statistik menunjukkan lebih kurang 37,000 pelajar sedang mengikuti kursus tersebut di IPTS tetapi pasaran swasta hanya memerlukan 1,400 orang setahun. Jika 37,000 penuntut ini dibahagi tiga untuk nilai keluaran ke pasaran setiap tahun, maka lebih kurang 12,000 pelajar ini akan membanjiri pasaran untuk 1,400 peluang pekerjaan. Apakah nasib mereka yang tidak mungkin akan mendapat kerja? Bukankah ini satu skandal/penipuan kepada anak muda kita hanya semata-mata untuk mencarikan keuntungan melalui peruntukan PTPTN kepada adik beradik dan anak-anak VIP kita.

Siapa yang untung? Satu kalkulasi ringkas menunjukkan untuk 12,000 pelajar kejururawatan yang dikeluarkan setiap tahun, jika didarabkan keuntungan kasar sebanyak RM 25,000 seorang, maka pihak institusi mendapat untung RM300 juta. Bagaimana pula untuk kursus-kursus yang lain. Berapakah keuntungan yang masuk ke kocek koperat. Siapa yang untung? Pihak yang memiliki institusi atau penuntut institusi?

Pembocoran skandal ini oleh Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma yang diterajui oleh Pemuda Sosialis PSM dan Ahli Parlimen Sg Siput masih tidak mendapat jawapan atau reaksi daripada pihak berkuasa.

Satu lagi persoalan yang sepatutnya popular ialah mengapa kerajaan memberi reaksi yang keterlaluan apabila Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat akan menghapuskan PTPTN sekiranya menawan Putrajaya? Pelbagai sebab diberikan termasuk negara akan bankrap, kerajaan akan rugi, Petronas akan runtuh, kolej swasta akan ditutup dan akhirnya kad rasis dilayangkan dengan kenyataan pemansuhan PTPTN akan menjejaskan kepentingan Bumiputera. Sebenarnya semua sebab-sebab ini tidak mendapat reaksi yang sepatutnya kerana Laporan Audit oleh pihak kerajaan sendiri menyatakan ketirisan pengurusan kerajaan akibat korupsi, kronisma dan penyalahgunaan kuasa, mencecah hampir RM28 billion untuk setiap tahun. Maka apakah sebabnya reaksi sebegini?




Kerajaan telah mengumumkan pojek perkongsian dengan sektor swasta untuk sistem pendidikan dan perkhidmatan awam lain melalui Rancangan Malaysia ke-10. Walaupun projek "penswastaan" pendidikan ini tidak diheboh-hebohkan, beberapa siri tindakan lanjutan telah diambil termasuk pembinaan ribuan tadika di bawah projek Permata (idea Rosmah) dan pemberian kuasa autonomi kepada universiti tempatan dan sekolah. Antara kuasa yang diberikan ialah kemasukan penaja swasta ke sekolah dan universiti. Maka, kuasa tambahan yang diberi termasuk penentuan yuran, pemilihan pelajar dan pendidik serta pengrekrutan tenaga kerja sokongan (pekebun,penjaga keselamatan dan sebagainya).




Isunya, pasaran pendidikan telah dibuka seluas-luasnya oleh Kerajaan BN dan lidah korporat ternganga-nganga untuk menghisap keuntungan yang bakal disajikan. Maka, propaganda pendidikan percuma dan pemansuhan PTPTN jelas satu ancaman kepada cita-cita mereka. Maka, dicucuk boneka-bonekanya di kerajaan untuk bangun menentang tuntutan populis tersebut. Rakyat pada umumnya dan anak muda /mahasiswa memang terpikat dengan idea pemansuhan PTPTN dan ini jelas meruncingkan kepentingan golongan koperat.

Walaupun Kerajaan Pakatan Rakyat tidak menghebohkan sistem pendidikan negara akan terbebas daripada cengkaman pasaran/pemodal (baca = mereka masih belum bersedia), sekurang-kurangnya penerapan idea reformis untuk pendidikan percuma / penghapusan PTPTN adalah terlalu dialu-alukan pada ketika ini dan mendapat sokongan penuh daripada Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma (GMPP).

Apa yang kami impikan ialah satu sistem pendidikan percuma yang bebas daripada pasaran/pemodal selaras dengan tuntutan umum "Pendidikan Bukan Untuk Diniagakan".

Anak Muda Kuasa Perubahan
*Karthiges ialah Penyelaras Gabungan Menuntut Pendidikan Percuma.

sumber.merdekareview.com

Saturday, April 14, 2012

Jagalah Tepi Kain Sendiri Jangan Sampai Terselak

Assalamualaikum..
 Dalam masyarakat Melayu ada satu pepatah yang begitu terkenal yang menggambarkan kepedulian masyarakat yang begitu mendalam terhadap hal ehwal orang lain. Terkenalnya pepatah ini sehingga ianya sering digunakan oleh orang Melayu dan mungkin juga orang bukan Melayu dalam perbualan harian berbanding dengan pepatah-pepatah yang lain. Pepatah yang dimaksudkan ialah ‘jangan jaga tepi kain orang' yang membawa maksud jangan ambil peduli hal orang lain.
 Persoalannya ialah adakah pepatah ini masih relevan dengan cara hidup kita hari ini? Dan lebih-lebih lagi kita orang Islam adakah pepatah ini selaras dengan tuntutan agama? Sebenarnya pepatah ini mempunyai pro dan kontranya yang tersendiri bergantung dari sudut mana kita melihatnya.

Sekiranya pepatah ‘jangan jaga tepi kain orang' ini membawa maksud buangkan sifat ingin tahu yang berlebih-lebihan mengenai sifat buruk dan keaiban seseorang maka memang layak pepatah ini diamalkan. Ini adalah kerana sifat suka mengambil tahu tentang keburukan orang lain seringkali akan disusuli pula dengan tabiat suka menyebarkan keburukan itu kepada orang lain. Ini mengupat namanya dan diharamkan oleh agama. Bahkan al Quran telah mengingatkan kita supaya menjauhi sifat buruk ini di dalam surah al Hujurat, sebahagian daripada ayat ke 12, yang maksudnya:

"Janganlah setengah daripada kamu mengupat setengah yang lain..."

Begitu juga pepatah ini wajar diterima-pakai dan diamalkan sekiranya ia membawa maksud menjauhi sifat suka mengintip dan mencari-cari kesalahan orang lain. Hal ini juga telah diperingatkan kepada kita oleh Islam supaya menjauhi sifat ‘tajassus' atau mengintip dengan tujuan untuk mencari keaiban dan keburukan orang yang tersembunyi, sepertimana firman Allah SWT di dalam surah dan ayat yang sama seperti di atas, yang membawa maksud:

"Dan janganlah kamu mengintip dan mencari-cari kesalahan dan keaiban orang..."

Buruknya amalan mengupat dan sifat ‘tajassus' ini sehingga Rasulullah SAW sendiri telah mengingatkan kita supaya menjauhi sifat-sifat ini dengan sabda Baginda yang bermaksud:

"Wahai golongan yang beriman dengan lisannya, tetapi tidak beriman dengan hatinya; Janganlah kamu mengumpat kaum Muslimin dan janganlah kamu mengintip keaiban mereka, maka barang siapa yang mengintip keaiban saudaranya, nescaya Allah akan mengintip keaibannya, dan siapa yang diintip Allah akan keaibannya maka Allah akan membuka keaibannya walaupun dirahsiakan di lubang kenderaannya"

(Hadith riwayat at Tirmidzi)

Namun apa yang ingin dilihat disebalik pepatah yang kelihatannya tidak begitu molek diamalkan ini ialah ianya
masih tetap relevan dengan tuntutan kehidupan harian kita masa kini sehingga mungkin ianya terpaksa diubah dari ‘jangan jaga tepi kain orang' kepada ‘tolong jaga tepi kain orang'. Apa yang ingin dimaksudkan di sini ialah kita harus mengakui bahawa persekitaran hidup kita sekarang tidak lagi aman dan selamat seperti suatu masa dahulu..

sesuai juga ditambah peribahasa :

"jagalah tepi kain orang jangan asyik suka untuk menyelaknya " dan "jagalah tepi kain sendiri jangan sampai terselak" :)
Warkah Ust Azhar Idrus utk Sham Kamikazi

Saturday, April 7, 2012

Jagalah Aurat Anda Sebelum Ajal Tiba....



Allahyarham baru meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya baru-baru ini.Tak Lama kemudian ibunya bermimpi yang beliau merayu-rayu agar tutup acc facebook kerana auratnya terdedah di pandangan umum & rohnya tidak tenteram kerana banyak sangat gambar yang terdedah dan tidak tutup aurat.

Beliau yang baru berusia 19 tahun dan berasal dari Johor, telah pun meninggal dunia beberapa hari lepas setelah koma 2 hari akibat kemalangan jalan raya.

Alhamdulillah pada 4pm 6/4/12 facebooknya telah berjaya dipadamkan, terima kasih kepada yang telah memberi kerjasama.

Inginkah Anda Mati Dalam Derhaka Kepada Allah?

Sebuah hadis yang yang diriwayatkan oleh At Tarmizi, Perempuan itu aurat. Maka apabila ia keluar, mendongaklah syaitan memandang dia. Cuba kita bayangkan, bagaimana dengan keadaan seorang wanita keluar rumah dalam keadaan mendedahkan aurat, tiba-tiba berlaku kemalangan atau sebagainya menyebabkan kematian, bukankah kematian itu berlaku dalam keadaan melakukan derhaka kepada Allah?

Allah tunjukkan kepada nabi dalam peristiwa Israk dan Mikraj sebagai pengajaran bahawa begitu besar dosa dan begitu ngeri azab yang bakal diterima oleh wanita-wanita yang mendedahkan aurat malahan suami atau bapa mereka turut menerima tempiasnya sekali pada akhirat kelak.

Sabda Rasulullah s.a.w. "Perempuan-perempuan yang memakai pakaian tetapi masih seperti telanjang (dedah aurat) sehingga memalingkan pandangan lelaki ajnabi atas mereka, kepala mereka seperti bonggol unta Khurasan dan tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya pun" (riwayat Muslim). Malahan bagi wanita yang menutup aurat tetapi menggunakan warna-warna yang garang atau menarik perhatian lelaki ajnabi juga dilarang.

Sekarang kita melihat ada wanita yang menutup aurat tetapi masih terkinja-kinja di atas pentas, terjerit-jerit umpama haiwan di belantara, manusia begini tidak lebih hanya mempersenda-sendakan syariat Allah kerana wanita yang ikhlas, yang benar-benar menutup aurat kerana perintah Allah, dia akan menjaga pandangan, pergaulan, lisan serta adab sebagai wanita beriman, jika tidak tidak ada bezanya mereka dengan wanita yang tidak menutup aurat.

Akhirnya hayatilah sebuah hadis Rasulullah ketika baginda dalam Israk dan Mikraj yang berbunyi "Aku menjenguk ke dalam neraka, maka kulihat kebanyakan penghuninya adalah kaum wanita, yang demikian disebabkan oleh kerana kurang taat kepada Allah dan Rasulullah dan suami mereka dan kerana banyak bertabarruj dedah aurat dan berhias-hias".

Bapa-bapa atau suami-suami kelihatan taat solat, dengar kuliah, bersedekah, buat haji, buat umrah, puasa sunat selain yang wajib, tetapi redha melihat isteri atau anak-anak perempuan dedah aurat, bersalam dengan lelaki ajnabi atau bergaul bebas.

Ketahuilah bapa atau suami begitu belum layak untuk masuk syurga malah untuk mencium syurga Allah pun tidak layak kerana menolak rukun iman. Sama-samalah kita insaf bagi mencapai keredhaan Allah.

Wallahu'alam....

SALAM MUHASABAH, KONGSIKAN KEPADA SELURUH UMAT ISLAM, SEMOGA BEROLEH MANFAAT.


Friday, March 16, 2012

Diskriminasi bahasa Inggeris!!!

Semasa aku melayari facebook, aku tergerak hati untuk memberi komen mengenai satu gambar buah nenas yang di post oleh seorang kenalan. Isunya buah nenas dalam bahasa Inggeris pineapple dan kebanyakan bahasa lain memanggil nenas ialah seakan-akan sama bunyinya. 

Aku membaca komen2 tersebut dan sgt mendukacitakan ia menjadi hinaan teradap bahasa Inggeris bahkan ditertawakan. Aku tergerak untuk menulis hal ini kerana risau ada segelintir kita menghina bahasa Inggeris yg juga datangnya dari Allah. 

 Kita perlu sedar dan tidak perlu menafikan bahawa bahasa Inggeris merupakan bahasa antarabangsa yg merupakan talian komunikasi antara semua bangsa antarabangsa. Aku juga setuju sekiranya ada pihak yg cuba untuk menaikkan bahasa Arab sebagai bahasa antarabangsa malah aku doakan semoga ia berjaya suatu hari nanti.

Jangan diskriminasi antara bahasa. Semua bahasa adalah dari Allah. Begitu juga halnya segelintir kita cukup jelek dgn bahasa Cina, Tamil dll sampaikan menjadi bahan ketawa dan ejekan. Aku sgt berbangga seandainya seseorang dapat mengusai kedua bahasa tersebut, selain dapat peluang pekerjaan yg cerah, ia juga dpt mengakrabkan hubungan antara kaum seterusnya menjadi jalan dakwah kerana org Cina sgt suka apabila kita berpetah dalam bahasa mereka.  

Berbalik pada bahasa Inggeris, apa perasaan orang Inggeris-Muslim kalau bahasa mereka dihinakan. Inilah masalah apabila menganggap bahasa Inggeris adalah bahasa Kristian, seolah sama anggapan org yg menganggap Islam hanyalah untuk org Melayu, tuhan Allah hanyalah tuhan khusus untuk Islam dan sebagainya. 

Aku teringat semasa aku mengambil subjek bahasa Inggeris rendah di Universiti Mu'tah, memang tidak dinafikan ada diselitkan unsur2 yg agak lari dari syar'ie mahupun adat orang arab dan Melayu, antaranya ada bab yg menyentuh couple, cara hidup dgn muzik dan lain2 yg memang tidak sesuai dijadikan cara hidup. Mungkin itulah antara agenda tersembunyi mereka untuk menyemaikan kononnya itu adalah cara hidup yang normal masyarakat. Hal ini mungkin menjadi penyebab untuk kita membenci bahasa Inggeris bahkan ada segelintir masyarakat Melayu dahulu mengatakan hantar anak belajar sekolah Inggeris itu belajar jadi kafir. Sampaikan mengatakan ia adalah bahasa penjajah yg tidak perlu dipelajari.

Jika dilihat sejarah, bahasa Arab suatu ketika dulu merupakan bahasa yg sgt diperlukan oleh masyarakat antarabangsa kerana ia adalah bahasa ilmu bahkan ada ilmuwan Inggeris menggunakan nama penanya seperti nama Arab. Bahasa Melayu pun tidak kurang hebatnya suatu masa dahulu menjadi Lingua-Franca dek kerana menjadi persinggahan pelabur seluruh dunia.


Kita pun mengetahui kebanyakan ilmu telah 'dicuri' oleh org barat dari Islam, agak mustahil sekiranya mereka mengambil ilmu tersebut tanpa mengusai bahasanya terlebih dahulu, sehinggakan ada cendekiawan barat menghafal al-Quran untuk mencari kelemahan org Islam. Apa yg nak aku bagitahu kat sini, sekiranya kita mampu menguasai sesuatu bahasa itu maka mudah juga untuk kita menguasai sesuatu yg sewajarnya.

Maka peranan kitalah sebagai pendakwah untuk mengubah bahasa Inggeris menjadi bahasa untuk orang ramai mengenali indahnya Islam sebelum orang awam mengkaji apa itu Islam serta mendalami bahasa Arab seterusnya berasa bangga mengunakan bahasa Arab, bahkan aku tidak merasa hairan bahasa Arab pula menjadi bahasa wajib antarabangsa!

Tuesday, March 6, 2012

Lakukan Ini Agar Janin Sihat Dan Cerdas


Stimulasi Muzik 
Alunan muzik yang berirama lembut juga dapat dimanfaatkan untuk merangsang janin agar cerdas dan kreatif. 
Jenis muzik yang boleh dimanfaatkan hanya terbatas kepada jenis muzik klasik dan berirama lembut saja. Memperdengarkan muzik berirama keras kepada bayi dalam kandungan tidak disarankan sebab akan menyebabkan timbulnya kebingungan pada bayi.  

Alunan merdu ayat-ayat suci al-Quran adalah amat sesuai diperdengarkan kepada janin [bayi] dari peringkat awal lagi. Lebih baik jika ibu atau bapa sendiri membaca dan memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-quran sebaik-baiknya khatam 30 juzuk dalam tempoh kandungan 9 bulan.


Muzik dapat mempengaruhi otak bayi kerana proses pengenalan muzik akan melibatkan banyak bahagian pada otak. Terdapat pusat pertautan penglihatan dan pendengaran yang berfungsi menafsir objek yang dilihat dan didengar. Informasi dari pusat yang berada di permukaan otak tersebut akan disalurkan ke pusat emosi yang diatur di dalam sistem limbik [Sekumpulan struktur otak, termasuk amigdala, hipokampus dan hipotalamus, yang berkaitan dengan aktiviti seperti fungsi autonomi, emosi dan tingkah laku].  


Stimulasi Fizik - Tingkah Laku Motor
Bercerita atau mengelus-elus bayi dalam kandungan dengan penuh perhatian dapat merangsang pertumbuhan atau perkembangan otak pada janin. Hal ini akan merangsang bayi untuk merasa tenteram kerana ia merupakan rangsangan yang positif. Janin, bayi dan kanak-kanak bawah 5 tahun yang dibesarkan dalam situasi yang membiasakannya untuk berbicara dengan baik, mendengar dan membaca, cenderung memiliki IQ yang lebih tinggi dan lebih maju daripada kanak-kanak lainnya.

Wednesday, February 1, 2012

Salji tidak turun tahun lepas kerana maksiat?



Maha kuasa Allah boleh menjadikan sesuatu perkara yang manusia tidak sangka2. Allahu akbar segala puji bagi Allah dgn rahmatnya telah menurunkan salji buat kali kedua di bumi Mu'tah ini. Ramai sahabat2 tidak menjangkakan salji akan turun kali kedua barangkali dalam sejarah di bumi Mu'tah. Sedih rasanya kerana tidak berkesempatan bersama-sama teman di suatu kawasan yang agak tebal dan cantik untuk bermain salji di Mu'tah pada salji pertama.

Agak hairan juga kerana selepas salji pertama, cuaca agak panas walaupun kadang-kadang sejuk mendingin sehingga kebas jari kaki dan kaki yang pastinya hanya duduk di atas katil berbalutkan selimut tebal dan tidak menjangka salji kali ini lebih tebal berbanding yang pertama, dan saya agak salji tidak turun sebab pada semester awal tahun ini cuaca agak panas dan pada tahun lepas semasa semester awal hujan agak lebat tetapi salji tidak turun di Mu'tah.

Menyentuh berkenaan mengapa salji tidak turun di Mu'tah pada tahun lepas, ramai gurauan pedas dari kenalan-kenalan mengatakan salji agak malu turun di bumi Mu''tah ini kerana kononya maksiat yang dilakukan tidak kira pelajar Malaysia mahupun masyarakat arab di sini. Menyentuh makna maksiat pula, masyarakat Melayu umumnya memahami maksiat itu adalah perilaku tidak senonoh antara lelaki dan perempuan yang sedang bercinta tanpa mengikut had sempadan yang Islam tetapkan dengan kata lain 'maksiat' adalah bermaksud perhubungan lelaki dan perempuan yang terlebih mesra sehingga di pandang buruk oleh agama.

Padahal maksiat itu sendiri adalah dari bahasa Arab yang membawa maksud kelakuan yang membawa kepada dosa tidak kira samada maksiat sesama manusia atau kepada Allah. Semua manusia tidak lari dari melakukan maksiat, jangan menyombong diri apabila ditegur dan sepatutnya bersegeralah menginsafi dan bermuhasabah diri akan dosa-dosanya yang lampau samada dosanya tika remaja, bujang, sebelum kahwin dan selepas kahwin. Manusia tidak lepas dari melakukan maksiat pada Allah, antaranya bagaimana solat subuhnya, puasanya dan lain-lain.

Saya agak menyokong perkataan maksiat itu digunakan kerana jangan hanya menyangka maksiat itu adalah dosa sesama 'kekasih' sahaja, bahkan kepada Allah juga.

Memang tidak dinafikan setiap kejadian alam ini ada hikmahnya yang kita sendiri tidak tahu dan kebiasaanya akan tahu juga. Berkaitan salji tidak turun di Mu'tah, tidak dinafikan itu juga ada hikmahnya kerana pada tahun lepas walaupun salji tidak turun tetapi hujan agak lebat sehinggakan paras air hujan melebihi dari jangkaan dan menjadi pusat takungan air untuk kegunaan masyarakat sekeliling. 

Apa yang ingin disampaikan, apa salahnya sekiranya kita mengatakan salji tidak turun pada tahun lepas adalah kerana dosa 'maksiat' kita kepada Allah atau juga sesama manusia sebagai muhasabah diri kita ini yang selalu gembira sehingga lupa apakah peranan kita sebagai penuntut ilmu agama yang suci ini, layakkah kita menjadi ikon, contoh qudwah kepada masyarakat di Malaysia yang mengharapkan kita sebagai pembawa ilmu di tanah anbiya' ini?


Ramai juga ahli agama yang berpendapat kejadian tsunami adalah disebabkan maksiat dan dosa2 yang dilakukan oleh penduduk sekeliling, yang ahli geologinya mengatakan ia adalah akibat hakisan dan macam2 seumpamanya, padahal kawasan yang teruk adalah di Aceh, yang mana penduduknya begitu menjaga kesucian agama Islam. Kalau secara logiknya, layakkah kita menghukum mereka ditimpa bala kerana dosa2 mereka? semanisnya kita mengatakan kepada si pelaku maksiat supaya segera bertaubat dan mengambil iktibar sebagai muhasabah adakah kita tidak pernah melakukan dosa. Bagi yang tidak merasakan itu adalah hantaran dari Allah, mereka katakan itu adalah kejadian alam dan bencana semulajadi tanpa mengaitkan hal itu dengan amaran Allah barangkali.


Pesanan pena, marilah kita muhasabah adakah tahun lepas salji tidak turun kerana rahmat Allah dicabut dan hanya digantikan dengan hujan dek kerana dosa maksiat kita, (kerana salji merupakan satu kejadian alam yang sangat dinantikan oleh mereka yang agak jarang merasai suasana salji dan hanya hujan sahaja yang turun sebagaimana di Malaysia sudah merasai hujan). Tidak salah sekiranya saya mengatakan berkemungkinan rahmat Allah turunnya salji di Mu'tah ini kerana ramainya sahabat2 telah mendirikan rumah tangga untuk mencari redha Allah yang membawa kepada mawaddah wa rahmah. Tidak bermakna pada tahun lepas ia dikaitkan dengan dosa cinta melampaui batas syariat si bujang, mungkin ia bersangkut paut dengan dosa maksiatnya kepada Allah secara rohaninya.