There was an error in this gadget

Thursday, November 25, 2010

Kalau Mencari Teman


18 Zulhijjah 1431H
Oleh : nina mazrina

ISLAM merupakan agama yang lengkap dalam semua aspek kehidupan sama ada dari segi ilmu pengetahuan, ekonomi, politik dan juga sosial. Oleh itu, dalam kehidupan sosial, kita telah disediakan beberapa garis panduan yang kalau diikuti boleh mendatangkan kebaikan dan menghindarkan keburukan.

Contoh kehidupan bersosial ialah soal mencari sahabat. Kita dinasihatkan supaya berhati-hati memilih sahabat kerana Islam menegah kita mancari sahabat yang boleh membawa kepada kemungkaran.

Seperti fiman Allah SWT dalam surah Kahfi ayat 29 yang bermaksud :

"Janganlah engkau mengikuti orang yang telah Kami lupakan hatinya untuk mengingat-ingat (berzikir) pada Kami dan ia suka mengikuti hawa nafsunya."

Sekiranya kita memilih sahabat yang terlalu cintakan dunia dan mementingkan hawa nafsunya, sahabat itu akan merugikan kita. Malah, lambat-laun, kita mencari sahabat yang soleh yang paling ingat-mengingati ke jalan yang diredhai oleh Allah SWT.

Hal ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud :

"Seseorang itu menurut agama (aturan) kekasihnya, maka oleh sebab itu baiklah seseorang dari kamu semua itu meniliti orang yang dikasihi."

WASIAT AL-QAMAH

Sifat-sifat yang perlu ada pada seseorang yg ingin kita jadikan sahabat bolehlah kita contohi daripada wasiat yang diberikan oleh al-Qamah kepada anaknya.......

Katanya :

"Hai anakku, jikalau engkau rasa perlu bersahabat dengan seseorang maka pilihlah yang mempunyai sifat-sifat ini iaitu :

Jikalau engkau melayaninya, ia suka melindungi, jika engkau bersahabat dengannya, ia akan merupakan hiasan dirimu dan jika engkau dalam keadaan kekurangan nafkah, ia suka mencukupi keperluanmu.

Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, ia suka menerima dengan rasa terharu, jikalau ia melihat kebaikan yang ada pada dirimu, ia suka menghitung-hitungkan.

Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, ia suka menerima dengan rasa terharu, dan dianggap sangat berguna, sedangkan jikalau ia mengetahui tentang keburukan dirimu lalu ia suka menutupinya.

Pilihlah sahabat yang jikalau engkau meminta sesuatu daripadanya, pasti ia memberi, jikalau engkau diam, ia mulai menyapamu dahulu dan jika ada sesuatu kesukaran dan kesedihan yang menimpa dirimu, ia suka membantu dan meringankanmu serta menghiburkanmu.

Pilihlah sahabat yang jikalau engkau berkata, ia suka membenarkan ucapan dan bukan selalu mempercayainya sahaja. Jikalau engkau mengemukakan sesuatu persoalan yang berat, ia suka mengusahakannya dan jikalau engkau berselisih dengannya, ia suka sekali mengalah untuk kepentinganmu."

Saiyidina Ali KWJ menjelaskan tentang sahabat yang baik. Antara lain, beliau menyatakan...

"Sahabat yang sebenar-benarnya ialah orang yang ada di sampingmu. Ia suka membabitkan dirinya sendiri dalam bahaya demi untuk kesejahteraanmu."

Saiyidina Ali KWJ bukan setakat bercakap kosong, malah telah membuktikan kata-katanya dengan mengambil alih tempat tidur Rasulullah SAW sewaktu baginda bersama Saiyidina Abu Bakar merancang untuk berhijrah ke Madinah.

Walaupun Saiyidina Ali KWJ tahu risiko yang terlalu tinggi akan dihadapinya kerana pemuda-pemuda Quraisy bercadang untuk menyerbu rumah Rasulullah SAW dan membunuhnya, tetapi Saiyidina Ali KWJ sanggup menghadapi bahaya itu atas dasar kepentingan keselamatan sahabatnya. Atas pengorbanan dan kesetiaan beliau, Allah telah menyelamatkan beliau daripada dibunuh oleh pemuda-pemuda Quraisy itu.

Contoh persahabatan lain yang boleh diteladani ialah persahabatan Saiyidina Abu Bakar dengan Rasulullah SAW. Saidina Abu Bakar sentiasa mempercayai dan mengiakan apa yang Rasullullah SAW katakan. Sebagai contoh, sewaktu Rasulullah SAW menceritakan perjalanan Isra' dan Mi'raj kepada semua orang di Kota Mekah, mereka tidak mempercayai cerita Rasulullah SAW malah mengejek-ngejek dan menuduh baginda sebagai pembohong.

Mereka yang tidak percaya kepada cerita Rasulullah SAW telah pergi berjumpa dengan Saiyidina Abu Bakar untuk menanyakan sama ada cerita tersebut benar atau sebaliknya. Tujuan mereka adalah untuk mentertawakan Saidina Abu Bakar yang menjadi sahabat baik Rasulullah SAW.

Apabila Saiyidina Abu Bakar mendengar mendengar pertanyaan mereka, dengan tenang beliau bertanya semula apakah benar Rasulullah SAW bercerita sedemikian. Mereka mengatakan begitulah cerita Rasulullah SAW lalu tanpa ragu-ragu Saiyidina Abu Bakar menyatakan apa yang Rasulullah SAW katakan itu semuanya benar.

Saiyidina Abu Bakar bukan setakat mempercayai apa yang sahabatnya katakan tetapi juga sanggup berkorban harta untuk kepentingan perjuangan agama Islam yang dibawa oleh sahabatnya.

PENGORBANAN SAHABAT NABI.
Di samping itu, pengorbanan yang paling besar yang diberikan oleh Saiyidina Abu Bakar kepada Rasulullah SAW ialah apabila sanggup bersama-sama dengan sahabatnya sewaktu berhijrah ke Madinah.

Penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah bukanlah satu perjalanan yang selamat kerana orang-orang Quraisy sentiasa memusuhi dan ingin membunuh baginda.

Sewaktu dalam perjalanan dari Makkah ke Madinah, Saiyidina Abu Bakar sentiasa berada di hadapan dan di belakang Rasulullah SAW. Apabila baginda bertanya akan hal itu, Saidina Abu Bakar menjawab...

"Aku berjalan di hadapan untuk memilih jalan yang baik dan selamat sementara aku berjalan di belakangmu untuk menjaga keselamatanmu dari serangan musuh yang mengejarmu."

Sebagai kesimpulan, marilah kita perhatikan nasihat Abu Sulaiman tentang pentingnya memilih sahabat seperti yang dianjurkan oleh Islam.

Katanya...

Janganlah sesekali engkau bersahabat melainkan salah satu daripada 2 orang ini :

Pertama, orang yang dapat engkau ajak bersahabat dalam urusan duniamu dengan jujur.

Kedua, orang yang dijadikan sahabat itu dapat menambahkan kemanfaatan duniamu untuk urusan akhiratmu.

Jika engkau bersahabat selain daripada 2 orang ini, pastinya engkau memiliki kebodohan yang luar biasa besarnya.

No comments:

Post a Comment