Monday, January 17, 2011

Pengguna Facebook Sasaran Mudah Penjenayah ?


13 Safar 1432H.
Oleh P. ARUNA

PETALING JAYA: Para pengguna Facebook menjadi sasaran mudah bagi para penjenayah yang mempunyai akses mudah kepada maklumat peribadi mereka menerusi laman sosial itu.

Penjenayah dilaporkan memperoleh maklumat seperti alamat, nombor telefon malah gambar pengguna untuk melakukan jenayah dari penyeludupan dadah hinggalah peras ugut dan gangguan seksual.

Pakar mengkritik rakyat Malaysia kerana terlalu naif apabila menerima permohonan 'rakan' daripada orang tidak dikenali.

Tahun lalu, kira-kira 400 kes membabitkan Facebook telah dilaporkan kepada sebuah kumpulan keselamatan siber.

Trend itu semakin membimbangkan berikutan kaji selidik antarabangsa tahun lalu yang mendedahkan bahawa rakyat Malaysia mempunyai bilangan rakan tertinggi menerusi laman web jaringan sosial seperti Facebook dengan purata 233 rakan bagi seorang pengguna - dan meluangkan sehingga sembilan jam setiap kali log masuk.

Penjenayah mengambil kesempatan atas maklumat peribadi yang didedahkan secara rela oleh sebahagian pengguna Facebook dan bebas menggunakannya dalam pemalsuan identiti, peras ugut atau 'mencuri' wang daripada pengguna.

Pengguna jaringan sosial ghairah yang mendedahkan maklumat peribadi dan menerima permohonan 'rakan' daripada orang asing telah menjadikan laman web itu sasaran popular bagi penjenayah siber.

Ramai pengguna, terutama golongan mentah mengalami kejutan budaya apabila mereka tiba-tiba menjadi 'popular' dan menerima banyak permohonan rakan, menurut pakar kaji jenayah dan Presiden Association Of Certified Fraud Examiners (CFE), Datuk Akhbar Satar.

"Mereka rasa mahu mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai diri masing-masing tanpa menyedari kesan buruk akibat perbuatan itu," katanya sambil menambah ramai pengguna berani meletakkan mesej seksi atau gambar bogel pada laman web itu dan akhirnya diperas ugut oleh orang tidak dikenali.

Akhbar berkata, amalan memaparkan maklumat peribadi seperti tarikh lahir, alamat dan nombor telefon pada laman web itu terbukti menjadi sumber menguntungkan bagi pemalsu identiti.

"Segi tiga jenayah melibatkan elemen keinginan, sasaran dan peluang. Apabila ada keinginan untuk melakukan jenayah, penjenayah tersebut mengenal pasti sasaran dan peluang. Di sinilah fungsi Facebook memainkan peranan," katanya.

Menurut Socialbakers.com, laman web khusus untuk statistik global Facebook, pada masa ini terdapat 9,874,860 pengguna Facebook di Malaysia sahaja, iaitu 37.75 peratus daripada keseluruhan populasinya.

Golongan muda berusia antara 18 dan 25 tahun membentuk majoriti pengguna tempatan dengan 38 peratus sementara kumpulan paling muda berusia antara 13 dan 15 tahun membentuk 7 peratus lagi pengguna.

Nisbah jantina rakyat Malaysia di Facebook adalah hampir setara dengan 53 peratus merupakan pengguna wanita.

Sementara penggodam yang beroperasi di laman jaringan sosial mudah mencipta profil palsu dan menghantar permohonan menjadi rakan kepada mangsa dalam kumpulan sasarannya.

Ramai pengguna telah menjadi mangsa penipuan identiti, gangguan, peras ugut dan kehilangan wang menerusi pelbagai penipuan beroperasi menerusi laman web tersebut.

juga terdapat laporan mengenai sindiket kumpulan samseng dan dadah di negara ini dengan melantik ahlinya menerusi Facebook dan laman jaringan sosial lain.

Tugas penjenayah dipermudahkan lagi apabila nama dan gambar profil pengguna terpapar kepada umum menerusi penyelarasan keselamatan tersedia di Facebook.

"Tidak seperti jenayah yang dilakukan di dunia fizikal, jenayah siber tidak memerlukan modal," kata Akhbar, menambah bahawa jenayah seumpama itu juga lebih sukar untuk dikesan.

No comments:

Post a Comment